Hari Ini Hari 'GST'

Bermula pada 1 April 2015, (hari ini ketika artikel ini dikarang) adalah hari bermulanya sistem baharu percukaian negara, diperkenalkan oleh kerajaan sejak tahun lepas lagi tetapi baru hari ini dapat dilaksanakan selepas Akta baharu diluluskan di Parlimen ( Akta cukai barangan dan perkhidmatan 2014).

Sebelum sistem GST ini ada, Malaysia mengguna pakai sistem SST (cukai jualan dan pekhidmatan)

 

Saya tidak mahu menyentuh langsung tentang GST secara terperinci kerana anda boleh membacanya di mana-mana blog yang lain. Tetapi saya akan menulis dari sudut yang lain.

 

Penyampaian kerajaan terhadap isu GST sangat lemah!

Pada pandangan saya, betul GST ini perlu bagi membangunkan sesebuah negara dan dengan GST ini, kerajaan boleh membelanjakan pendapatan GST untuk keselesaan rakyat yang perlu membayar GST. Malangnya, saya lihat terlalu banyak kelemahan dari segi penyampaian maklumat berkenaan dengan GST sejak 2 ke 3 tahun sebelum ini. Semasa pilihanraya pada tahun 2013, saya langsung tak dengar cerita berkenaan dengan GST yang mahu dilaksanakan bagi menggantikan sistem cukai yang sedia ada. Malah, macam tak ada kat dalam manifesto kerajaan yang memerintah.

 

Maklumat GST tidak disampaikan secara lebih efisyen!

Selepas itu, cerita berkenaan dengan GST hangat dan menjadi panas sejak sekitar tahun lalu. Kerajaan mahu memperkenalkan sistem percukaian baru ini bagi menambah pendapatan kerajaan dan seterusnya mampu mentadbir negara ini dengan lebih efisyen. Malangnya, cerita GST ini tidak diceritakan dengan secara jelas di pihak kerajaan. Apa kebaikan GST, kenapa GST dilaksanakan, keperluan GST dan apa barangan yang tidak dikenakan cukai, ini semua tidak diceritakan secara menyeluruh oleh kerajaan. Dan macam biasa, di pihak pembangkang pula akan mengapi-apikan kemarahan rakyat dengan menjadikan GST sebagai modal meraih undi. Pihak pembangkang akan cakap GST itu tak bagus, menyusahkan rakyat marhaen, barang akan naik semula dan apa sahaja spekulasi supaya GST digagalkan. Dah nama pun pembangkang, maka kerjanya pun membangkang sahaja lah!

 

Tetapi di pihak kerajaan, saya tak nampak yang kerajaan bersungguh-sungguh mahu menepis tohmahan dan memberi penjelasan yang cukup berkenaan dengan GST kepada rakyat. Kenapa sejak dari tahun  lepas, pihak kerajaan menempah satu slot rancangan di semua stesyen TV dan radio bagi menjelaskan kepada rakyat berkenaan dengan GST ini? Setakat yang saya nampak, hanya ada satu slot sahaja di RTM, itu pun bermula sejak 3 bulan yang lalu. Kenapa tak dari awal lagi semasa Akta GST dibentangkan di Parlimen?

 

Pembelian panik dan khabar angin!

3 hari sebelum GST, rakyat mulai panik kerana tidak mendapat maklumat yang betul. Ramai yang datang ke pasaraya untuk memborong membeli makanan, barangan, minyak masak dan sebagainya bagi mengelakkan membeli barangan selepas GST. Malam tadi, banyak pula yang datang ke stesyen minyak. Kononnya nak beli petrol sebelum harga GST.

 

Yang paling menyedihkan, khabar angin berkenaan dengan GST ini seperti tidak terkawal. Ada mesej yang saya dapat, kononnya Tun M mengarahkan GST dimansuhkan, GST tidak akan diteruskan dan macam-macam cerita lagi yang tidak betul. Mesej dan khabar angin ini berlegar-legar di Facebook, Whatapps dan Twitter dan GST adalah cerita yang paling Trending untuk minggu ini.

 

Saya amat kecewa dengan kerajaan kerana gagal dalam sistem maklumat dan penyampaiannya kepada rakyat dengan hal GST ni. Saya harap kalau nak memperkenalkan sesuatu bagi kebaikan negara, sepatutnya perbetulkan sistem penyampaiannya dahulu. Oleh kerana GST dah pun bermula, saya berharap ini adalah kes yang boleh dijadikan pengajaran kepada kerajaan Malaysia untuk memberikan satu penerangan dan penyampaian maklumat yang lebih efisyen jika hendak memperkenalkan sesuatu perkara yang baharu.

 

Terima kasih kerana membaca artikel saya

Rizman M.A

www.mohdrizmanma.com