Cara menangani si pembodek di tempat kerja anda.

Baiklah, artikel kali ini adalah siri terakhir penulisan dan pendapat saya sendiri berkenaan dengan si pembodek, pengampu, kaki kipas dan yang seangkatan dengannya. Ironinya, di mana-mana sahaja di tempat kerja sama ada anda adalah penjawat awam, pekerja swasta, pekerja kilang, pekerja bank, guru dan pekerja di bahagian penguatkuasa sekalipun, anda tidak terlepas sama ada anda dibodek (jika anda boss), mendengar si bodek berbual, mengumpat dan menjatuhkan rakan sekerja atau anda yang menjadi mangsa si pembodek.

Bagi kita yang dah lama berkenalan dengan si pembodek ini, bagaimanakah caranya kita hendak menangani si pembodek ini?

1.) Cuba elakkan diri dari si kaki pembodek atau anda buat-buat tak tau..
Biasanya jika anda rapat dengan si kaki pembodek ini, ada sahaja cerita baharu yang nak di sampaikan kepada telinga-telinga rakan sekerjanya. Apa katanya untuk kali ini, anda cuba elakkan diri dari si pembodek ini dengan berlalu pergi dari tempat duduk anda dan katakan padanya “aku ada kerja nak buat ni, sorry ye…!”
Kalau anda buat-buat tak dengan pun boleh juga. Anda biarkan si pembodek ini habis bercakap, tetapi anda hanya akan membalas “ada apa lagi ke?, aku busy ni!”


2.) Berikan jawapan yang tak pasti
Jawapan yang tak pasti ini ialah cara anda membalas balik segala perlakuan dan perbualan di antara anda sendiri dengan si pembodek apabila adanya komunikasi, di mana si pembodek sedang memburuk-burukkan rakan sekerja.
Contohnya, anda boleh beri jawapan “Ye ke?”, “Aku tak tau le…, mana kau tau?”, “Oh, tak tau pula aku!” dan syaratnya selepas anda berkata begitu, cepat-cepatlah menjauhkan diri dengan si pembodek ini kerana kalau dilayan, panjang ceritanya nanti.

3.) Memberikan kata nasihat secara sindiran kepada si pembodek
Kalau anda berasa cukup berani untuk menasihatkan secara berhemah atau berdakwah. Silakan! Anda boleh memberikan nas atau hadis yang sahih (yang menyatakan yang menjadi si pembodek ini tidak berkat rezeki) kerana menaburkan pasir ke periuk nasi orang lain. Jika si pembodek ini mula memberontak atau marah-marah, biarkan sahaja.
Satu cara lagi ialah dengan menyindir si pembodek secara berhemah. Contohnya anda mungkin cuba meminta bantuan si pembodek, tetapi jika dia mengelak (sebab dia tak tau nak buat kerja tadi), hanya perlu menyindir dengan berkata “ Laa, aku ingatkan kau hebat sangat, dengan bos sikit punya terror je…?”

4.) Rakamkan percakapan si pembodek jika ada peluang!
Satu cara lagi yang boleh digunakan bagi mengajar si pembodek ini ialah dengan merakamkan segala percakapannya ketika dia sedap-sedap mengumpat, terutamanya apabila dia mengumpat boss. Rakaman ini menjadi bukti yang si pembodek ini tidak setia dengan bossnya. Jika pembodek ini ada kes, anda boleh menggunakan rakaman suara tersebut sebagai bukti.
Sekarangkan dah senang sikit nak merakam, gunalah aplikasi yang ada dekat smartphone anda tadi untuk merakam perbualan si pembodek.

5.) Jangan sesekali menceritakan rahsia kepada si pembodek
Si pembodek ini ada sahaja ideanya untuk cuba mengorek rahsia bagi menjatuhkan seseorang. Anda jangan sesekali memberikan rahsia orang lain atau rahsia anda sendiri ‘terbocor’ dan jatuk ke tangan si pembodek ini, kelak nanti anda yang merana.

6.) Jangan buat kerja untuk si pembodek
Jika boss mengarahkan kerja atau tugasan yang harus diselesaikan oleh si pembodek, maka anda adalah dilarang sama sekali untuk membuat kerja si pembodek itu walaupun dia meminta tolong. Sebenarnya si pembodek ini malas nak buat, itu sebabnya dia suruh anda pula yang buat kerja dia.

Begitulah di antara cadangan saya kepada anda untuk menguruskan si pembodek ini dari terus berkuasa menjahanamkan kehidupan orang yang lain. Oleh kerana si pembodek ini pun manusia, sedikit sebanyak pun kita kena menguruskan mereka ini secara lebih berhemah, bertujuan untuk menyedarkan mereka dari terus sesat dengan dunia yang sementara ini.

Terima kasih kerana membaca artikel ini.
Rizman M.A
www.mohdrizmanma.com