Bahana si kaki pembodek, kaki pengampu dan kaki kipas.



Berikut adalah beberapa kes yang disebabkan oleh kerja kaki pembodek, kaki pengampu, kaki kipas dan yang seangkatan dengannya. (Terima kasih kepada Sinar Harian dan Carigold.com). Seperti yang saya pernah tulis pada artikel saya sebelum ini, kaki pembodek, kaki pengampu dan kaki kipas ini sebenarnya hidup seperti cacing kepanasan kerana hanya mementingkan diri sendiri dan hati menjadi gelap. Ini sudah menjadi kronik pada kebanyakan sektor pekerjaan di negara ini. Pada ketiga-tiga kes yang saya lampirkan di bawah, ini semua adalah angkara manusia yang sudah gelap hatinya dan besar kemungkinan gajinya jatuh pada hukum 'haram'. Sebab itulah hatinya gelap kerana hasad dengki


Kes 1 : 'Saya ditegur, pembodek dipuji'
Sudah lebih dua tahun saya jadi guru di sebuah sekolah di Selangor. Sebagai guru muda, saya bersemangat dan mahu menjadi guru yang aktif serta bertenaga. Apatah lagi, saya dilantik sebagai guru kelas. Saya berusaha keras dan ramai pelajar menyenangi cara saya mengajar.


Namun impian saya musnah. Ada seorang rakan di sekolah itu yang tidak senang melihat usaha dan kemesraan pelajar dengan saya.


Tergamak dia bodek pengetua. Dia kata saya abaikan tanggungjawab sebagai guru kelas. Dia bodek pengetua dengan mengatakan saya ini hasut pelajar supaya jangan menyukai guru.


Dia bodek pengetua supaya tegur saya. Akibatnya saya dipanggil pengetua dan pentadbiran sekolah. Bayangkan, hal remeh seperti ini dibincangkan sedangkan pelajar rapat dengan saya sebagai guru kelas, kerana saya banyak selesaikan masalah mereka. Tetapi alih-alih, dalam mesyuarat guru, si pembodek itu yang dipuji kerana banyak bantu pelajar dan saya pula dinasihati supaya lebih berusaha.

Pembodek itu juga meminta pengetua tegur saya kononnya ambil masa rehat lama di kantin sedangkan saya hanya makan selepas tugasan selesai.


Saya dipanggil dan pengetua memberitahu beliau menerima aduan daripada si pembodek itu mengenai saya.

Berdasarkan kata-kata pengetua itu, saya sedar selama ini aduan mengenai saya itu datang daripadanya.


Akibatnya, pemarkahan bagi pencapaian prestasi saya sangat rendah. Saya seolah-olah guru muda yang tidak berguna sedangkan saya yang berpeluh, bak kata orang menyingsing lengan, turun padang membantu pelajar. Tetapi apakan daya, pengetua pilih kasih dan saya percaya beliau termakan hasutan si kaki kipas itu.



Kes 2 : Digugurkan sebagai jurulatih
Empat tahun berturut-turut saya jadi jurulatih. Selama itu pasukan bimbingan saya jadi juara dalam apa juga temasya. Ramai yang berebut hendak menjadi jurulatih pasukan yang saya terajui sejak 2009 itu.


Tetapi langit tidak selalu cerah. Harapan untuk terus melatih pasukan itu akhirnya musnah. Saya sungguh kecewa kerana semua ini berlaku akibat tohmahan si kaki kipas dan pengampu.


Orang itu membodek pihak pengurusan supaya menukarkan saya agar tidak terus melatih pasukan tersebut. Saya dikatakan garang, pemarah dan selalu menjerit di padang ketika sesi latihan.

Saya perlu cergas dan kuat supaya pasukan bersemangat. Saya tak pernah lihat jurulatih sukan yang berlemah lembut di padang! Buktinya, dengan tindakan tegas saya selama ini, pasukan itu tidak pernah tewas. Saya percaya hasil bimbingan selama ini, melahirkan dua ahli sukan hebat.


Selama ini, saya bekerja keras untuk menjadi seorang jurulatih yang baik tetapi si pembodek itu memuji dirinya lebih baik daripada saya kepada pihak pengurusan. Maka saya digugurkan sebagai jurulatih dan digantikan dengan pembodek itu.

Saya tidak tahu apa lagi yang hendak dikata sama ada saya bersalah atau sebaliknya. Tetapi pasukan itu dalam satu temasya baru-baru ini, pasukan yang pernah saya bimbing itu tewas kepada lawan!


Kes 3 : Aku tidak naik pangkat
Tiga tahun aku jadi jurutera di sebuah kilang yang besar dan ramai pekerja. Walau sudah lama bekerja, aku masih tidak naik pangkat. Tak apalah, mungkin belum rezeki aku.


Tapi seperti ada yang tak kena dengan dengan sistem perjawatan di kilang itu. Pekerja baru masuk atau jurutera baru, mudah sangat naik gred dan pangkat.


Apakah bos mengikut prinsip sebetulnya atau hanya menilai berdasarkan kemesraan dan keramahan seseorang pekerja?


Aku berani kata begini kerana ada jurutera yang naik memecut jadi pengurus walaupun pengalaman kurang dua tahun.


Namun, apa yang aku lihat, jurutera yang dinaikkan pangkat itu tidak tahu apa-apa mengenai tugasan. Apabila kena soal dalam mesyuarat, banyak soalan yang hanya dijawab dengan 'tidak tahu'.

Aku memang pelik. Adakah mereka ini diberi pangkat atas dasar pengalaman dan kebolehan atau kerana apa?


Aku memang tidak pandai mengampu bodek! Aku lihat ada juga kalangan orang jenis macam aku ni yang sukar untuk naik jawatan, tapi terpaksa bertukar angin ,mencari pekerjaan lain yang lebih terjamin.


Aku bekerja dengan jujur dan mampu melaksanakan tugasan dengan baik. Namun sayang, selepas tiga tahun aku tetap memikul jawatan yang sama.




Ketiga-tiga kes di atas hanya sebahagian dari kisah mereka yang teraniaya kerana sebilangan kecil manusia yang berhati busuk dan seperti yang pernah saya tulis di artikel sebelum ini, pembodek atau pengampu kepada boss ini tidak terhad di sektor perkilangan sahaja, tetapi hampir di mana-mana sahaja. Walaupun anda bekerja di kedai makan atau di kedai runcit, anda pasti dicemburui oleh si kaki bodek.


Di antara sebab kenapa wujudnya si kaki bodek, kaki pengampu dan kaki mengadu domba ini di tempat kerja anda.

1.) Mahukan  lebih perhatian dari pihak majikan
Biasanya si kaki pembodek mahukan dirinya mendapat lebih perhatian kerana mengharapkan sesuatu yang lebih besar sebagai ganjaran. Apabila ganjaran diperolehi, ia merupakan suatu kemenangan bagi si kaki pengampu kerana berjaya mendapatkan lebih perhatian dari bossnya.

2.) Mahukan dirinya adalah yang terbaik dari kalangan pekerja yang lain.
Si kaki bodek biasanya suka dirinya menonjol dan berpengaruh di mata bossnya. Oleh itu, mudah mendapat ganjaran yang dimahukan seperti kenaikan pangkat dan kenaikan bonus yang lebih lumayan.

3.) Memang pun dia tidak tahu buat kerja.
Si kaki bodek ini sebenarnya bukan bekerja sangat pun. Dia hanya akan bekerja bila boss ada di pejabat. Kerja pun bukannya niat untuk memajukan diri, tetapi untutk menjahanamkan diri sendiri ke neraka.

4.) Suka melihat pekerja lain jatuh.
Satu sikap yang ada pada si pembodek, mereka suka melihat rakan sekerja yang lain jatuh tergolek di depan mata. Contohnya dia akan cuba melakukan sesuatu atau mendengki supaya rakan sekerja dimarahi majikan.

5.) I'm always number 1
Si pembodek perasan yang dirinya sentiasa juara di hati boss. Boss sentiasa mendengar kata-kata si pembodek ini tanpa usul periksa atau membuat siasatan dahulu.


Cuba anda lihat di tempat kerja anda. Adakah anda dapati yang si pembodek mempunyai kelima-lima ciri yang saya nyatakan di atas tadi? Jika kesemuanya ada, dia adalah si kaki pembodek yang tegar dan sukar untuk diubah sikapnya.

Untuk artikel yang akan datang ini, saya akan mengutarakan pendapat saya dan juga pendapat blogger yang lain tentang cara kita menghadapi si pembodek ini.


Terima kasih kerana membaca artikel ini.
Rizman M.A
www.mohdrizmanma.com