Artikel ini khas untuk kaki pembodek, pengampu dan kaki kipas.





Hampir 13 tahun saya bekerja di sektor perkilangan dan pembuatan, dan selama 13 tahun itu sudah 4 kali saya bertukar kerja kerana jiwa saya yang tidak mahu berada di zon selesa. Dan selama 13 tahun saya di sektor ini, saya berkenalan dan berjumpa dengan berbagai ragam manusia ketika bekerja bersama.


Di antara ragam manusia yang saya jumpa ialah apabila ketika penilaian tahunan (Yearly Evaluation) sedang berjalan. Maka ramailah yang cuba menunjuk-nunjuk yang kerja mereka adalah yang hebat serta yang terbaik. Untuk menunjukkan yang dirinya hebat mungkin bagi sesetengah orang, 'No Problem' tetapi ia akan menjadi masalah sekiranya mereka cuba melebih-lebih apabila berjumpa dengan boss. Selain melebih-lebih, ada yang sampai memburuk-burukkan rakan sekerja yang lain sampai boss mereka percaya bulat-bulat dengan kenyataan atau cerita yang sengaja direka.


Orang yang sebegini saya kategorikan sebagai kaki pengampu ataupun kaki pembodek, kaki kipas dan yang sejenis dengannya. Percaya atau tidak, bukan di sektor perkilangan sahaja yang saya nampak begitu ramai kaki kipas boss atau menjadi kaki pengampu tetapi di mana-mana sahaja sektor pekerjaan sama ada di sektor kerajaan ataupun di sektor swasta, ada sahaja manusia bergelar kaki pengampu, kaki bodek dan kaki kipas. Ingatkan dekat parti politik aje yang ada kes kaki pembodek!


Untuk mengenal sama ada rakan sekerja anda itu kaki bodek ataupun sebaliknya, itu senang sahaja. Ada berbagai ragam kaki membodek boss ini, sebagai contoh.. ada seorang supervisor ini sepatutnya bekerja sebagai menyelia orang bawahan, tetapi pada masa yang sama kerap bersama dengan bossnya, bancuh kopi pun siap dia buatkan untuk boss (walaupun boss itu ada setiausaha dan kerani). Lagi best, tiba-tiba sahaja boss itu datang memberi amaran kepada anda yang anda mungkin diambil tindakan disiplin, walaupun anda tidak pun melakukan kesalahan. Ini semua kerana hasil 'fitnah' secara halus yang dihasilkan oleh supervisor itu tadi.


Satu lagi contoh, boss akan mengurangkan kerja dia, tetapi kerja anda pula yang bertambah-tambah. Ini semuanya adalah hasil daripada kaki pengampu boss.


Kalau membodek, macam-macam cara yang boleh dilakukan bagi memenangi hati boss, supaya di hati boss, dia yang terbaik. Contohnya dia belikan sarapan untuk boss, belanja boss makan (biasanya boss yang belanja makan), belikan rokok untuk boss guna poket sendiri dan bermacam-macam lagi ragam kaki pembodek yang pernah saya saksikan di kebanyakan tempat kerja.


Saya pernah membaca sebuah artikel berkenaan dengan apa hukumnya menjadi kaki pengampu ini? Sebenarnya jika anda kerap menjadi kaki pembodek, pengampu, mengadu domba dan yang seangkatan dengannya, sedarlah bahawa hukumnya ialah sangat berdosa. Gaji yang akan diterima mungkin sudah tiada keberkatan kerana keberkatan itu sudah ditarik balik olehNya. Bukan itu sahaja, hati anda akan terus menjadi hitam kerana sikap membodek ini boleh menggelapkan hati secara langsung. Hati sentiasa tidak puas dengan apa yang kita ada dan anda suka melihat kemusnahan kehidupan orang lain.


Bagaimana pula sekiranya anda dimarahi oleh boss anda disebabkan oleh kaki pembodek ini?

Pada pengalaman saya, sebenarnya mungkin boss anda adalah jenis yang kurang prihatin dan jarang melihat pergerakan serta memahami kerja orang bawahannya. Beritahulah pada boss itu secara berhemah apa sebenarnya yang tidak kena dengan kerja yang anda lakukan dan minta dia beritahu siapa pengadunya. Jika anda penyabar dan boleh berfikir secara berhemah, anda akan beritahu kepada si pembodek itu secara terus terang (di hadapan boss tadi) yang anda tidak suka orang yang kaki pengampu dan hukumnya ialah berdosa besar bagi orang yang mengampu.. kelak hidup akan merana kerana akhirnya hidup sendiri akan tiada keberkatan.


Percayalah, di mana-mana pun sektor pekerjaan yang kita berkhidmat, akan disertai dengan kaki cemburu, kaki pembodek dan kaki pengampu. Cuma, sebenarnya ada caranya untuk kita melalui perjalanan kerja kita bila bersama dengan kaki pembodek ini. Dan jika anda ialah seorang yang kerap terlibat dalam bahagian pengurusan, anda sepatutnya tidak boleh terjebak dengan hasutan dari kaki pembodek ini.


Dan untuk kaki pembodek, kaki kipas, kaki pengampu dan kaki mengadu domba, sudah sudah le tu... Tahu tak yang menjadi kaki pembodek ini berdosa???? Jangan jadi parasit di tempat kerja...


Untuk cara yang berkesan bagi menghadapi kaki bodek ini, mungkin saya akan menyampaikannya pada artikel yang akan datang, kerana saya sedang menyiapkan kertas kerja.


Terima kasih kerana sudi membaca
Rizman M.A
www.mohdrizmanma.com