Nak jadi Full Safety Officer? Pergi ambik periksa

 

 

Salam dan selamt sejahtera kepada pembaca yang singgah di blog ini.

Seperti yang saya tulis dahulu pada post yang lalu, kali ini saya akan menulis keperluan yang anda perlu ada sebelum anda mahu menjadi orang yang layak memegang jawatan sebagai Safety Officer ini.

 

Jadi, apa yang perlu ada dan kelayakan yang berguna untuk kita bagi melayakkan diri sebagai Safety Officer ini? Pada ketika mula-mula saya mengenal bidang ini, saya sendiri pun tidak menyangka yang kelayakan minimumnya hanyalah SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). SPM ini diperlukan bagi melayakkan anda mengambil kursus ‘Pegaiwan Kesihatan dan Pekerjaan’ di Institut Kesihatan dan Pekerjaan Kebangsaan Malaysia atau lebih dikenali sebagai NIOSH. NIOSH adalah pusat pembelajaran utama negara yang menyediakan kursus Occupational Safety and Health ini ( selepas ini, saya akan ringkaskan menjadi OSH ).

 

Untuk menjadi pegawai OSH yang kompeten ( yang betul-betul mahir dan berkelayakan ), anda perlu pergi ke kursus yang dikendalikan oleh NIOSH atau mana-mana pusat pembelajaran yang berdaftar dengan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Malaysia (JKKP – DOSH). Jika anda menagmbil kursus ini secara sepenuh masa, tempoh belajarnya ialah 21 hari tetapi jika diambil secara sambilan (separuh masa), maka tempoh pembelajarannya agak panjang sedikit kerana kelasnya hanya pada hujung minggu.

 

Kursus OSH NIOSH ini mempunyai 4 modul kesemuanya. Ketika hari pertama anda menjejakkkan kaki di NIOSH, anda akan mendapat 4 buah buku (1 buku – 1 modul) dan buku Undang-Undang yang ada 2 buah buku. Maka buku yang anda perolehi adalah seperti berikut :-

 

1.) Modul 1

2.) Modul 2

3.) Modul 3

4.) Modul 4

5.) Undang-undang Akta Pekerjaan dan Kesihatan 1994. (Akta 514)

6.) Undang-undang Akta Kilang dan Jentera (Akta 139)

 

Anda juga diberi nota tambahan berupa powerpoint slide. Biasanya pensyarah yang hadir memberi syarahan di dalam kelas lebih suka menggunakan slide sendiri atau slide yang disediakan, berbanding menggunakan buku modul. Tetapi jika pembelajarannya berkaitan dengan undang-undang, maka buku undang-undang ini adalah wajib dibawa.

 

Kos untuk kursus ini, jika anda ada belanja sendiri, kosnya ialah RM4000. Jika anda ditaja oleh syarikat di mana anda bekerja, itu adalah lebih baik tetapi jika syarikat anda bekerja itu lambat bayar yuran, maka anda diberi sijil ‘dummy’ selepas tamat kursus.

 

Selepas selesai kursus, maka anda akan mendapat Sijil Kehadiran daripada NIOSH kerana anda berjaya menamatkan kursus jangka pendek ini. Tetapi anda masih belum selesai. Anda mesti pergi mengambil peperiksaan yang dikendalikan oleh NIOSH. Jika anda telah mula mengambil mana-mana kertas peperiksaan, maka anda harus mengambil keseluruhan kertas peperiksaan dalam tempoh 2 tahun selepas anda mengambil kertas peperiksaan yang pertama. Jika anda gagal menghabiskannya dalam tempoh 2 tahun, besar kemungkinan anda kena memulakan kursus semula dengan kosnya RM4000.

 

Jika anda rasa anda mahu mencuba nak jadi Safety Officer, tanamkan azam yang anda benar-benar minat dan beriltizam tinggi untuk menjadi Safety Officer, dengan pergi ke kursus OSH kendalian NIOSH dan pergi ambil periksa.

 

RIZMAN MA