Selamatkah mesin ATM di Malaysia?

Berita yang saya dengar melalui stesen TV pada hari ini membuatkan kami sekeluarga tergamam sejenak. Di fikiran saya, jika saya ini orang biasa dan apabila mendengar berita buruk ini, saya akan berfikir “selamatkah duit aku kalau simpan di bank ni lagi? “

 

Ada 2 berita yang kurang sedap di dengar pada hari ini dan menjadi bualan panas di mana-mana media sosial, selepas redanya kes perebutan kuasa di Selangor.

 

1.) Sebuah bank tempatan (tidak dinyatakan) mengalami kerugian sebanyak RM30.5 juta kerana transaksi yang dilakukan oleh 2 syarikat (juga tidak dinyatakan syarikat apa…) tidak sampai ke akaun yang sepatutnya kerana no akaun telah diubah. Penjenayah siber ini, sebelum melakukan jenayah ini, mereka berjaya memintas e-mail syarikat tersebut yang ditujukan kepada bank berkenaan.

 

2.) Affin Bank dan Al-Rajhi mengalami kerugian sebanyak RM1.05 Juta dalam tempoh 24 jam kerana transaksi yang dilakukan oleh penjenayah, yang dipercayai dari orang luar ( dipercayai berasal dari Amerika Latin). Mereka berjaya mengeluarkan wang fisikal dari ATM dengan hanya menggunakan ‘remote’ (kawalan dari jauh), dan berjaya menggodam mesin ATM ini, dipercayai menggunakan sim card. Dipercayai kedua-dua bank ini tidak mempunyai perisian terkini di mesin ATM.

 

Nampaknya, zaman rompakan bersenjata sudah pun berlalu. Perompak IT lebih hebat daripada perompak bersenjata. Tidak perlu bersusah payah memecah masuk bank atau pun mengeluarkan mesin ATM menggunakan jentolak.

Apa yang bermain di fikiran saya pula ialah..

1.) Adakah sim kad yang digunakan adalah sim kad Malaysia atau sim kad negara perompak terbabit?

2.) Tak kan begitu mudah mesin ATM ni digodam? Perisian cap ayam ke Affin Bank ni guna?

3.) Kenapa dalam tempoh 24 jam ni, rompakan siber ni boleh berlaku di dua buah daerah yang berasingan? Masing-masing di Selangor dan Johor?

4.) Mesin ATM Affin Bank ni 24 jam ke beroperasi? Ada sesetengah bank, pukul 12 tengah malam, ATMnya sudah tidak beroperasi…

5.) Dan akhirnya sekali, adakah ada dalang dari orang dalam bank terbabit?

 

Saya berminat untuk mengikuti perkembangan kejadian ini dan saya berharap sangatlah supaya pihak berkuasa mampu menangani masalah ini supaya orang ramai tidak resah….

Dan kalau anda rasa duit anda hilang.. sila lah laporkan kepada polis.