Konsep Sunat Tarawih di bulan Ramadan

 

Berjamaah-Witir-Biarpun-Tarawih-Hanya-8-Rakaat-300x225

Salam Ramadan dari kami di Channel 20 dan semoga di hari ini anda mampu menjalani ibadah berpuasa yang penuh dugaan dan penuh hikmah.

 

Bercerita tentang post yang lalu, saya ada bercerita tentang sunat Tarawih tidak seharusnya hanya pada malam pertama sahaja, tetapi sunat dilakukan pada hari-hari berikutnya kerana besar fadilatnya.

Sebelum itu adakah kita faham berkenaan dengan konsep Tarawih ini?

 

Maksud Tarawih

Tarawih menurut asal katanya ialah duduk untuk istirehat setelah mengerjakan sembahyang empat rakaat. Setiap empat rakaat itu  dinamakan tarawih adalah sebagai majaz, kerana adabnya istirehat sesudahnya.

 

Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau  beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isyak. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga cukup 8 ataupun dua puluh rakaat.

Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadan. Sembahyang Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang Isyak dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam.

 

Hukum mengerjakan sembahyang tarawih adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah.

 

Pada zaman Rasulullah S.A.W., solat sunat Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Rasulullah S.A.W. juga tidak memberatkan solat ini ditunaikan di masjid kerana tidak mahukan sahabat berfikiran solat ini solat yang wajib. Pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan solat sunat sebanyak itu. Solat ini juga dibuatkan sebanyak 20 rakaat dan ditambah 3 rakaat sembahyang witir. Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Tarawih sebanyak 20 rakaat dengan ditambah dengan 3 rakaat sembahyang witir.

 

Fadilat sunat solat Tarawih mengikut malam Ramadan

Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali (r.a.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang fadilat (kelebihan) sembahyang sunat terawih pada bulan Ramadan :

 

Malam 1 – Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.

 

Malam 2 – Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).

 

Malam 3 – Berseru Malaikat di bawah ‘Arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

 

Malam 4 – Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

 

Malam 5 – Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah(Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa.

 

Malam 6 – Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Mamur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih poda malam ini.

 

Malam 7 – Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi Alaihissalam menentang musuh ketatnya Firaun dan Hamman.

 

Malam 8 – Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam.

 

Malam 9 – Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.

 

Malam 10 – Allah Subhanahuwataala mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.

 

Malam 11 – Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baharu dilahirkan.

 

Malam 12 – Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).

 

Malam 13 – Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.

 

Malam 14 – datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.

 

Malam 15 – Semua Malaikat yang menanggung Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

 

Malam 16 – Allah subhanahuwataala tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

 

Malam 17 – Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

 

Malam 18 – Seru Malaikat : Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup atau mati).

 

Malam 19 – Allah Subhanahuwataala tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

 

Malam 20 – Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

 

Malam 21 – Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada nur.

 

Malam 22 – Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huruhara di Padang Masyar).

 

Malam 23 – Allah Subhanahuwataala binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada nur.

 

Malam 24 – Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang berterawih malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).

 

Malam 25 – Allah Taala angkatkan daripada siksa kubur.

 

Malam 26 – Allah kurniakan kepada orang berterawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.

 

Malam 27 – Allah kurniakan orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Sirotolmustaqim seperti kilat menyambar.

 

Malam 28 – Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 darjat di akhirat.

 

Malam 29 – Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.

 

Malam 30 – Allah Subhanahuwataala beri penghormatan kepada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman:
“Hai hambaKu : makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau dariapda air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama Al-Kauthar.”

 

Insya-Allah semoga maklumat yang ada di blog ini berguna bagi muslimin dan muslimah. Jom kita ke masjid malam ini.