Bersantai di Kampung Kuantan

Agak lama saya tidak pulang ke negeri kelahiran saya iaitu Selangor Darul Ehsan. Bila balik negeri sahaja baharulah nak mengaku yang kita ini orang Selangor, walaupun hanya lahir sahaja di negeri Selangor, walhal selebihnya saya dibesarkan di Pahang dan akhirnya terus menjadi orang Johor. Kebetulan pada minggu lepas, saya berpeluang untuk pulang ke Sabak Bernam kerana jemputan perkahwinan saudara sebelah ayah.

 

Di pendekkan cerita, saya sekeluarga menginap ke Kuala Selangor kerana saya tidak berhasrat bermalam di kampung. Maka malam itu kami sekeluarga berhajat mengunjungi Kampung Kuantan. Tujuannya hendak kenalkan pada anak, tengok kelip-kelip pada malam hari.

 

Apabila sampai di tempat yang dituju, kami terus ke kaunter jualan tiket dan saya agak terperanjat pada mulanya kerana harga tiket untuk satu bot ialah RM50. Dan saya ingatkan saya kena bercampur naik dengan orang lain. Tetapi selepas diberitahu yang bot akan dinaiki 4 orang, maka saya pun bersetuju untuk teruskan melihat kelip-kelip dengan tiketnya RM50.00

 

Sebelum naik sampan, kami sekeluarga  mesti kena pakai jaket keselamatan sebagai langkah yang selamat. Sampan yang dinaiki dikendalikan oleh pengemudi sampan dengan menggunakan dayung. Maka sampan itu harus menggunakan dayung membawa penumpang ke tempat kelip-kelip. Antara sebab menggunakan dayung ialah kerana jika guna enjin, kelip-kelip akan lari kerana kelip-kelip tidak boleh dalam suasana bising.

Ini adalah papan pengenalan untuk kelip-kelip Kampung Kuantan. Gambar oleh pemilik blog n-hafizah.blogspot.com

 

Berbalik pada suasana ketika di atas sampan, saya perhatikan banyak sampan yang berlegar di sekitar pohon berembang. Dekat pohon berembang inilah kelip-kelip suka melepak.

Inilah pohon berembang. Ada buahnya.

 

Abang yang membawa kami sekeluarga menasihatkan kami jika boleh, nak ambil gambar jangan guna ‘flash’, kerana dikhuatiri Kelip-kelip akan lari atau memadamkan cahaya kerana kelip-kelip tidak boleh disinarkan dengan cahaya ‘mengejut’.  Kata abang itu lagi, biasanya kalau pohon berembang itu berdekatan dengan jeti sungai, amat kurang kelip-kelip berada di situ. Ini semua adalah kerana cahaya.

Malangnya saya lihat, ada juga pengunjung yang agak berdegil, naik sampan sambil bergambar, dan kelip-kelip pun banyak yang lari.

 

Kelip-kelip juga ada jantan dan ada betina. Biasanya kalau yang jantan, cahayanya adalah lebih terang berbanding dengan yang betina. Tujuan cahaya ini ialah untuk memikat sibetina untuk tujuan mengawan. Kami berpeluang untuk menyentuh kelip-kelip, letakkan di tangan dan melepaskan kelip-kelip ke udara.

 

 

Kalau kamera anda jenis baik punya… tanpa guna flash pun dah boleh nampak cahaya kelip-kelip ni.

 

Tapi

Saya tidak bernasib baik, gambar yang saya dapat ialah seperti begini.

2014-05-31 20.59.39

Apa yang nampak…? Betul kata orang, gambar kelip-kelip sukar diambil. Lebih baik datang sendiri melihat keajaibannya.

 

2014-05-31 21.10.09

Gambar ini saya ambil bila dah dekat dengan jeti.

 

Abang yang membawa kami di jeti memberitahu saya, Kampung Kuantan ini telah digazetkan oleh kerajaan bahawa pohon berembang dan kelip-kelip di sini dilindungi dan jika kita cuba menangkap kelip-kelip ini, dendanya jika tertangkap ialah RM1000 untuk setiap ekor. Perrghh. RM1000 seekor. Kelip-kelip yang dilindungi ini adalah hasil usahasama kerajaan dan TNB.

 

Kami sekeluarga berpuas hati datang ke sini melihat kelip-kelip di sini dan saya harap tempat ini terus dilindungi bagi mengekalkan statusnya sebagai tempat yang paling banyak kelip-kelip di dunia.