Jam 1 pagi di jalan Yong Peng

 

Pada 1hb Mei 2014 di dinihari, lebih kurang jam 1 pagi. Saya tidak pasti apa yang saya nampak pada ketika itu. Adakah benar itu sebuah entiti? Entahlah, sebelum ini saya tidak pernah melihat kelibat makhluk sebesar itu di waktu dinihari dan ketika memandu.

 

Saya memandu keseorangan dan mahu cepat pulang ke rumah ibu mentua di Kampung Seri Bengkal di Sri Gading. Untuk ke sana dan oleh kerana saya dari arah Yong Peng, hanya satu jalan sahaja yang saya kena lalui iaitu di jalan utama Yong Peng – Muar. Hanya inilah satu-satunya jalan yang saya boleh lalui dengan cepat kerana jalannya agak lebar. Cuma masalahnya kena berhati-hati, jalannya berbengkang bengkok dan banyak selekoh yang tajam.

 

Dalam sedang memandu itu, dari arah hadapan terdapat sebuah lori yang menyusuri jalan dengan agak perlahan. Saya jangkakan yang lori tersebut ialah lori pengangkut kelapa sawit. Sebab dengan gaya bentuknya, saya yakin lori tersebut mungkin membawa kelapa sawit. Tetapi apa ke jadahnya pada sebelah malam lori kelapa sawit itu mengangkut sawit tengah-tengah malam begini?

 

Dan kebetulan pula dalam beberapa meter ( saya agak dalam 200 meter ), saya tertarik suis lampu tinggi dan….. saya terpandang di tempat duduk sebelah pemandu lori tadi. Saya tidak nampak ada kelibat orang atau manusia yang sedang mengendalikan lori itu. Mana orangnya?

 

Lori itu terus berselisih dengan kereta saya dan saya sempat mengerling ke arah lori tadi, mana tau kalau saya nampak pemandunya. Tetapi keadaan di jalan raya terlalu gelap dan tidak memungkinkan saya untuk melihat lori terbabit dalam keadaan yang jelas. Saya melihat pula cermin pandang belakang, saya sudah tidak nampak lagi kelibat lori Mercedez Benz lama itu. Peliknya.

 

Dengan tiba-tiba meremang bulu roma saya apabila teringatkan lori tadi. Adakah ini LORI BERHANTU yang pernah diceritakan orang di sekitar Yong Peng? Teringatkan lori tadi, saya terus memecut laju kereta saya sampai ke Sri Bengkal. Pagi tu, selepas bersarapan saya ada bercerita dengan isteri dan juga ibu mentua dengan apa yang saya nampak dinihari tadi.

 

“ Mana ada lori berhantu… kalau lori hantu (lori yang buat kerja haram) banyak le…. “, tegas ibu mentua saya. Katanya jika pocong ke, langsuir ke, perempuan berbaju songket merah ke,,, cerita ini memang biasa didengar oleh penduduk di sekitar jalan yang merentangi di antara Parit Yaani dan Yong Peng itu, tetapi jika lori tanpa pemandu, siap bawa kelapa sawit…. itu adalah yang pertama didengari dan disampaikan oleh saya.

 

Huh…kalaulah pemandu lori itu ghaib sendiri, bagaimana lori itu menyusuri lorong yang betul tanpa melanggar saya? Hui takutnya……