Maktab Sultan Abu Bakar (1989 ~ 1993) dalam kenangan

Maktab Sultan Abu Bakar. Ya, ia hanyalah sebuah sekolah menengah kelas elit ketika di era zaman tersebut. Saya amat bertuah diberi peluang untuk bersekolah di sini dari tahun 1989 sehingga 1993. Ketika itu, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mula diperkenalkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia ketika itu, kalau tidak silap saya ketika itu pak menterinya ialah Allahyarham Tan Sri Sulaiman Daud dan selepas itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Di era persekolahan saya, Maktab Sultan Abu Bakar atau dahulunya dikenali sebagai English Collge mempunyai kelas pelajarnya yang tersendiri, sama ada yang bijak sangat atau pun yang tidak berapa bijak, pun ada bersekolah di sini. Saya tidak mendaftar ke MSAB sebelum itu, tetapi dipanggil atas kelas ‘Rancangan Khas’ oleh pihak PPD Johor Bahru. Di sini, selain saya mengenali MSAB, saya juga dapat berkenalan dengan beberapa lagi sekolah terkenal di sekitar Johor Bahru dan imej mereka yang tersendiri.

 

Di MSAB pada tahun 1989, ketua pengawas dipanggil Kapten sekolah dan ketika itu, kapten sekolah ialah Tengku Majid Iskandar, seorang kerabat diRaja dan anak kepada Almarhum Sultan Iskandar. Walaupun dia ini seorang kapten sekolah, tetapi guru-guru di situ amat senang dengan dia. Jika bercerita tentang bab sukan, MSAB memegang banyak kejuaraan terutamanya pasukan Hoki dan Ragbi. Kalau olahraga, MSAB tidak dapat menandingi sekolah SSI ( Sekolah Sultan Ismail).

 

Dari segi pencapaian akademiknya pula, MSAB antara sekolah yang hebat. Walaupun ke semuanya adalah pelajar lelaki ( kecuali tingkatan 6), tetapi peratusan kelulusan SRP dan SPM ketika itu adalah di atas 90% lulus. Kalau hendak diceritakan dari segi kemudahannya, MSAB mempunyai sebuah surau yang agak luas, mempunyai makmal yang lengkap dari segi kemudahannya dan di era saya, papan hitam yang digunakan adalah yang ‘paling bersih’.

 

Terus terang saya katakan, saya amat rindu dengan suasana di sekolah ini ketika di sebelah petang. Terutamanya jika melibatkan latihan sukan kerana latihan sukan di sekolah ini antara yang ‘terharmoni’. Jika tidak silap saya, ketika itu ada 4 buah pasukan rumah (Drury- Biru, Troussien-Merah, Grudy-Hijau, Lowe-Kuning) Perlawanan di antara kami memang sengit tetapi siapa sahaja yang terbaik, mereka yang akan menang.

 

Kepada bekas guru MSAB, saya kenang jasamu sehingga ke akhir hayat.

22442_1327924752938_8042825_n

Kelas 5 Sains A (1993)