Apabila Pegawai Daerah mengaku itu adalah operasi haram…

2014-02-23 20.20.00 

Pagi tadi, saya menonton berita di Astro Awani susulan dari kejadian 8 orang remaja lelaki yang lemas dalam ‘Tragedi Buloh Kasap’ di Segamat, Johor. Pegawai Daerah Segamat yang di temu bual oleh wartawan memberitahu, beliau meminta pihak yang terbabit dalam aktiviti menyedut dan mengorek pasir supaya memberhentikan semua aktiviti menyedut pasir dan memindahkan ke semua peralatan dan jentera yang terdapat di sekitar tebing sungai, lagipun didapati bahawa kontraktor terbabit tidak mempunyai lesen mengorek pasir dan melakukan aktiviti secara haram.

 

Hai, saya amat pelik dengan jawapan yang diberi oleh Pegawai Daerah tersebut. Takkan mamat ni tak tahu aktiviti haram yang dijalankan di tebing sungai Muar itu? Jawapannya pun macam melepaskan batok di tangga. Macam tak bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah!

 

Kalau dah tahu itu aktiviti haram, mengapa tindakan tidak diambil pada mereka yang terbabit dalam aktiviti mengorek pasir? Adakah Majlis Daerah Segamat memikirkan yang kontraktor itu di bawah seliaan pihak yang lain, contohnya Jabatan Saliran dan Pengaliran Negeri atau SAJ? Inilah yang menampakkan adanya berlaku sesuatu yang tidak kena dalam pentadbiran PBT Segamat ini dan mana perginya pegawai yang menguatkuasakan undang-undang di sana.. Tidur ke apa?

 

Di Malaysia ini dah macam tradisi, asal ada orang mati je baru sibuk nak ambil tindakan… Aktiviti pemusnahan alam yang tak terkawal menyebabkan alam mula marah kepada manusia. Contoh kejadian tragedi Buloh Kasap ini haruslah diambil iktibar dan pengajaran supaya kita harus lebih bertanggungjawab dengan alam dan nyawa orang lain.

 

Kepada pihak berwajib, saya harap mulakan siasatan dengan telus dan adil terhadap semua mereka yang terlibat dan bertanggungjawab di atas kejadian tragedi Buloh Kasap ini.