Anda suka Aedes?

Nyamuk Aedes inilah yang ‘menghantar; saya ke hospital selama seminggu

 

Salam sejahtera kepada pembaca blog ini. Agak lama saya tidak mengemaskini blog yang kerap ketinggalan. Bukannnya saya sengaja tidak mengemaskini. Untuk pengetahuan pembaca blog ini, saya pernah menulis sebuah artikel berkenaan dengan demam denggi dan aedes. Malangnya saya gagal ‘recall’ semula artikel tersebut.

 

Denggi, bagi mereka yang tidak pernah kena atau dijangkiti dengan penyakit ini, pasti mereka tidak mengetahui betapa deritanya penyakit ini bila menjangkiti badan. Saya berada di hospital selama  5 hari kerana denggi ini. Bagaimana saya dijangkiti? Jawapan itu sedikit sebanyak menggusarkan saya sendiri sebab saya tidak tahu bila masa aedes yang seksi itu menghirup darah manis saya. Mungkin kena di rumah atau pun mungkin saya kena di luar rumah ketika melakukan aktiviti rekreasi.

 

Tahu-tahu sahaja, badan mula merasa panas semacam (demam le tu) seminggu kemudian. Sebenarnya denggi akan menyucuk kita selepas seminggu dua kita digigit aedes. Simptom pertama yang saya dapat ialah demam panas sehinggu pada suhu 39 C. Panas tu… Selepas itu kepala berasa amat sakit dan yang paling betul-betul terseksa ialah apabila anda berasakan sendi kaki dan tangan macam nak tercabut, dan pinggang pun rasa amat sakit, macam nak patah rasanya pinggang.

 

Di hospital, tiada apa rawatan yang istimewa untuk pesakit demam denggi. Anda akan dimasukkan dengan air sahaja melalui tangan dan doktor pun suruh kita kerap minum air masak. Tetapi tahu sahajalah kan, kalau dah kena masuk air, nak ke tandas pun payah sangat, sebab nak mengangkut sekali kantung air garam itu ke tandas dengan tangan dicucuk jarum lagi,…

 

Apa yang saya boleh nasihatkan kepada mereka yang pernah kena dengan denggi ini, anda haruslah memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana anda masih diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan. Denggi ini sebenarnya boleh membawa maut. Berapa ramai selebriti di Malaysia ini maut kerana denggi? Dan berapa ramai lagi yang maut kerana denggi berdarah. Anda harus mengucapkan rasa syukur kerana anda diberi peluang sekali lagi untuk meneruskan kehidupan.

 

Di samping itu, lihatlah persekitaran kita, hapuskan tempat pembiakan aedes. Musnahkan mereka melalui pemusnahan tempat pembiakan mereka. Setakat nak guna Ridsect atau pun Sheildtox, sebenarnya mereka tidak mampu membantu jika kita sendiri yang pengotor.

 

Tiada Aedes, Tiada Denggi