Jaga kesihatan diri, ramai yang sudah pergi awal….


Baru-baru ini, saya telah dikejutkan oleh berita pemergian suami kepada rakan isteri saya kerana meninggal disebabkan oleh serangan penyakit jantung mengejut, diikuti dengan strok. Umur beliau baru sahaja hendak masuk 40 tahun sebelum pemergiannya. Saya macam terkesima sekejap apabila mendengar kematian suami kepada rakan isteri saya tadi. Meninggal ketika umurnya baru hendak masuk 40 dan anak-anak mereka pun masih kecil. Isterinya bekerja sebagai guru tadika.

Kata orang, di masa umur pertengahan 30an ini, kalau kita tidak menjaga cara gaya hidup, gaya pemakanan dan kesihatan diri sendiri, maka macam-macam penyakit yang akan timbul susulan dari kegagalan dan kecuaian kita sendiri. Di antara penyakit yang biasa akan menghantui kita ialah diabetis, darah tinggi dan yang teruk sekali bila muda-muda pun sudah ada yang kena barah (kanser).

Saya pun tergolong dalam kalangan yang berumur di pertengahan 30an.., isteri saya pun selalu berpesan, “jagalah kesihatan diri, jagalah kesihatan diri, nanti kalau dah sakit nanti susah nak ke mana-mana”… Saya akui yang saya pun tidak menjaga sangat apa yang saya makan, apa yang saya minum dan kurang senaman. Saya juga kaki minum kopi…

Apabila ramai yang saya dengar mati muda disebabkan serangan jantung dan angin ahmar, maka saya pun mula berfikir yang saya ini pun kena bermula dari sekafrang untuk menjaga kesihatan diri sendiri, seperti nasihat isteri saya, “jagalah kesihatan diri”… Bagi yang anda merasakan yang anda ada sakit-sakit kepala, sakit dada dan bisa-bisa badan, silalah berjumpa dengan doktor. Kesihatan ini seperti nyawa kita, kita harus menghargainya.