Harga minyak vs Ekonomi

Salam hormat dan salam sejahtera kepada sahabat-sahabatku. Untuk posting kali ini, saya hendak menulis tentang impak dari kenaikan harga minyak semalam. Seperti yang anda sedia maklum, Perdana Menteri kita itu telah membuat pengumuman yang mulai tengah malam tadi, harga minyak petrol Ron95 dan diesel telah dinaikkan 20 sen. Maka harga minyak petrol Ron95 sekarang ialah RM2.10. Walaupun harganya hanya naik 20 sen, tapi saya agak terasa dengan kenaikan minyak petrol ini. Kalau sebelum ini jika saya mengisi 20 liter, maka jumlah yang saya perlu bayar ialah RM38. Tetapi dengan kenaikan harga minyak petrol Ron95 ini; saya perlu membayar RM42 untuk jumlah 20 liter minyak petrol Ron92.

Alasan kerajaan pula, selepas mengkaji rasional di sebalik kenaikan harga bahan mentah petroleum yang sering melambung, nampaknya kerajaan seperti tidak mampu untuk memberi subsidi bahan bakar ini secara berterusan. Keputusan sudah pun dibuat. Maka dengan penarikan subsidi petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter, maka kerajaan dapat mengurangkan tanggungan subsidi dan menggunakan wang yang tidak pun banyak mana pun, untuk digunakan bagi perkara yang lain. Sebenar saya terfikir semula apabila PM kita kata ia adalah untuk kebaikan ekonomi negara. Agak pelik kerana biasanya di tv, berita cakap ekonomi kita semakin baik kerana ramai pelabur luar berminat untuk menanam modal dan perolehan pendapatan meningkat, tetapi kenapa beberapa jenis subsidi dikurangkan?

Sebenarnya saya agak bimbang dengan pengurangan subsidi minyak ini akan memberi impak yang besar, terutamanya harga barangan dan makanan yang juga akan naik seiring dengan kenaikan harga minyak dan rakyat akan terbeban kerana tindakan segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Keputusan sudah pun dilakukan dan harga pun sudah ditetapkan. Mahu atau tidak, kita terpaksa membeli minyak kerana ia adalah bahan yang amat diperlukan. Adakah kita bersedia jika Ron95 dinaikkan lagi kepada RM2.50?