BR1M : Sampai bila hendak dibantu?

Salam hormat dan salam perkenalan kepada rakan-rakan baru yang menerjah ke blog ‘TGM’ yang tidak seberapa ini. Sokongan anda menaikkan semangat saya untuk terus menulis dan memberi ulasan kepada apa yang berlaku di sekitar kita. Walaupun saya jarang-jarang menulis, tetapi jika saya sudah menekan butang, jawabnya ialah saya akan teruskan menulis.

Untuk post kali ini, saya terpanggil untuk mengulas berkenaan dengan pemberian ‘Bantuan Rakyat 1Malaysia’ yang kini mungkin akan memasuki BR1M siri 3.0. Pada pilhanraya ke 13 yang lalu, di dalam manifesto BN ada menyatakan yang pemberian BR1M akan tetap diteruskan dan jumlahnya meningkat kepada RM1200. Sebelum pilihanraya ke 13, ramai yang memohon untuk BR1M ini dan ada golongan sasar yang menerima, dan ada juga yang tidak dapat langsung BR1M ini, walaupun sebenarnya mereka lebih layak untuk mendapat bantuan BR1M ini.

Bantuan yang dijanjikan kepada rakyat yang memerlukan BR1M ini, seperti yang dijanjikan kerajaan ialah RM1200, menyamai gaji sebulan seorang operator kilang dan ia lebih dari mencukupi untuk mereka yang benar-benar memerlukan BR1M. Di antara syarat yang melayakkan seseorang menerima bantuan ialah pendapatan isi rumah mesti di bawah RM3000. Memang benar, kebanyakan rakyat berpendapatan rendah berada di dalam kelompok di bawah RM3000 dari segi pendapatan isi rumah. Tetapi bagaimana pula yang berpendapatan RM3000 ke atas tetapi masih lagi susah?

Ada sesetengah kes yang saya lihat, ada yang menerima BR1M tetapi sebenarnya dia tidak layak. Ketika datang untuk mengambil BR1M, dia mempunyai kereta Toyota Vios dan tinggal di rumah kos sederhana yang bernilai RM105,000. Tetapi amat pelik kerana dia dapat BR1M. Yang betul-betul susah ada yang tidak dapat BR1M ini dan ia seperti tidak telus dari segi penapisan calob-calon yang sebetulnya penerima BR1M. Ada juga di dalam sesetengah kes, suami ‘submit’ satu borang, isteri pun ‘submit’ borang yang lain, tengok nasib salah seorang yang akan dapat BR1M. Biasanya salah seorang mesti akan dapat BR1M.

Ada sesetengah orang berpendapat, BR1M ini hanya membazir wang dan masa kerana golongan yang sebetulnya tidak diberi perhatian dan ketelusan pemberian BR1M ini ada yang tidak kena. Ada yang dapat BR1M tetapi duit tersebut dihabiskan dengan berjudi, pergi beli Sport Toto. Ada juga yang menggunakan wang tersebut untuk membayar wang along sebab terlalu banyak hutang. Kenapa masa pengenalan BR1M ini kerajaan tidak mengkaji sedalam-dalamnya siapa yang benar-benar yang layak, dan siapa sebenarnya yang tidak layak?

Bagi golongan pertengahan yang pasti tidak akan dibantu, kerajaan telah ‘menjentik’ mereka dengan kenaikan harga minyak dan beberapa subsidi yang telah ditarik balik. Maka perbelanjaan bagi golongan ini akan meningkat dan kerana mereka tidak dapat BR1M, maka hati mereka semakin panas apabila mendapat tahu yang ada segelintir manusia berpendapatan lebih dari RM3000, tetapi dapat BR1M. Itu belum lagi cerita golongan yang kaya tetapi iri hati dengan mereka yang dapat BR1M.

Saya merasakan yang BR1M masih lagi relevan, tetapi jika tidak diuruskan dan ada rakyat yang menipu, atau yang main ‘kabel’ orang dalam, maka BR1M ini tidak mencapai objektif. Hanya menghabiskan wang kerajaan dan wang rakyat yang membayar cukai, tetapi tidak dapat BR1M.

 

Masih relevan lagikah BR1M dengan kosnya RM1200?