Jerebu datang lagi… Yeaaa!!

Pada bulan lepas (Mei 2013), kita telah dikejutkan dengan gelombang jerebu yang melanda beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan bacaan IPU yang tidak sihat. Ramai yang mengambil MC kerana alahan, gatal-gatal, semput dan batuk. Saya yang tinggal di sekitar Pasir Gudang, Johor turut terjejas kerana penglihatan yang kabur serta demam berpanjangan ketika jerebu ‘menyerang’ Pasir Gudang.

Kali ini, jerebu datang lagi untuk kali kedua. Muar, Ledang, Melaka serta Cheras dan Putrajaya agak terjejas. Sekejap IPU OK, sekejap IPU teruk. Nampak gayanya, kita akan menghadapi gelombang kedua. Siapa yang kita nak salahkan lepas ni? Indonesia? Jangan harap dia nak mengaku sebab dia orang mesti cakap jerebu disebabkan pembakaran terbuka yang dilakukan oleh syarikat perladangan asing, terutamanya Malaysia. Kalau bab menuduh, Indonesia memang hebat.

Bagaimana pula jika pembakaran terbuka dilakukan oleh orang kita sendiri di sini? apa tindakan pihak berwajib?

19 titik panas dikesan di Malaysia
Kuala Lumpur: Lima kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat semalam, meningkat daripada hanya dua lokasi kelmarin.
Mengikut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), sehingga jam 4 petang semalam, Muar merekodkan bacaan IPU 102; Bandaraya Melaka (101); Bukit Rambai (122); Banting (111) dan Cheras (117). Selain itu, 33 kawasan lain mencatatkan bacaan sederhana seperti Nilai dengan IPU 97 dan Pelabuhan Klang (93).

JAS menjelaskan punca kemerosotan kualiti udara disebabkan jerebu merentasi sempadan, pencemaran ozon di permukaan bumi seperti di Cheras yang lazimnya berlaku pada awal petang akibat tindak balas nitrogen oksida dan sebatian organik meruap daripada pelepasan ekzos kenderaan bermotor.

Jerebu tahap sederhana
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) mengikut maklumat satelit NOAA-18 kelmarin, bilangan titik panas di Sumatera terus meningkat kepada 261, berbanding 159 pada 20 Julai lalu. Di Malaysia, 19 titik panas dikesan kelmarin, iaitu tujuh di Johor, Kelantan dan Pahang (4), Perak (2), Selangor dan Sabah (1).
Di Melaka, Pengarah JAS negeri, Abd Hafiz Ab Samad, berkata selain Bukit Rambai, IPU di Bandaraya Melaka masih pada tahap sederhana iaitu 92, manakala di Shah Alam, Pengarah JAS Selangor, Siti Zaleha Ibrahim, berkata IPU tidak sihat dicatatkan di Banting pada tahap 111 setakat 12 tengah hari semalam.
Di Johor Bahru, Muar satu-satunya daerah dengan status tidak sihat apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala daerah lain di Johor masih sederhana. Pada 23 Jun lalu, Muar dan Ledang diisytiharkan darurat akibat jerebu selepas bacaan IPU melebihi 700 iaitu tahap berbahaya sehingga 211 sekolah terpaksa ditutup.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan cuaca berjerebu kembali menyelubungi Riau dan mengurangkan jarak pandangan pada sebelah pagi semalam sehingga 70 meter di Lapangan Terbang Pekanbaru serta 800 meter di Dumai berikutan meningkatnya titik panas yang dikesan, menandakan kebakaran hutan berlaku semula di sejumlah kawasan di wilayah itu

 

(sumber : Harian Metro)