Kemungkinan penyebab penyambung jambatan runtuh!


Benda yang sudah berlaku tidak perlu dipanjangkan lagi. Biarlah pihak Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk menyiasat bagaimana struktur penyambungan untuk menyokong Jambatan Kedua Pulau Pinang ini mudah runtuh dengan begitu mudah…?


Kenapa pula DOSH yang kena menyiasat dan bukannya pihak kerajaan negeri melalui JKR atau pun Majlis Perbandaran Pulau Pinang?
Jawapannya senang sahaja. Jambatan ini masih di dalam pembinaan dan kejadian ini menyebabkan kecederaan kepada pekerja-pekerja kontraktor yang terbabit dan membunuh nyawa 1 orang awam, maka tanggungjawab menyiasat masalah ini akhirnya diberi kepada pihak DOSH.

DOSH menyatakan bahawa siasatan akan mengambil masa sebulan dan semua kerja-kerja pembinaan di jambatan kedua ini mesti dibatalkan sehingga siasatan selesai dan DOSH akan mencadangkan tindakan pembetulan supaya kejadian yang sama tidak akan berulang lagi pada masa depan. Ini termaktub di dalam Akta Kesihatan Pekerjaan 1994

Pada pendapat saya dan mungkin pendapat ini sama seperti DOSH, siasatan akan lebih memberi tumpuan kepada kenapa penyambung sokongan itu runtuh dengan begitu mudah. Makanya siapa yang jadi Safety Officer (Pegawai Kesihatan dan Keselamatan syarikat kontraktor terbabit) terpaksa mengadap DOSH dan pihak mahkamah sekiranya pendakwaan dilakukan.


i.) Dari segi rekabentuk, adakah penyambungan dan sokongan itu dapat menahan berat dan adakah ianya ‘balance’.?
ii.) Bahan apakah yang digunakan ketika mereka bentuk sistem sokongan jambatan itu dan siapa yang meluluskannya?
iii.) Adakah kontraktor terbabit tidak peka akan keselamatan orang awam apabila membenarkan kawasan tersebut dilalui di bawah sistem sokongan yang dibina tadi? Kenapa jalan tersebut tidak di tutup kepada orang awam?
iv). Pihak kontraktor tidak membuat perancangan yang rapi ketika membina sistem penyambungan jambatan, adakah pihak kontraktor mendapatkan material yang murah dan buat penyambungan sekadar ‘tangkap muat’ sahaja?

Sebenarnya banyak lagi persoalan yang akan dikaji oleh pihak DOSH sendiri untuk menyiasat dan menilai segala kejadian yang berlaku dengan mengumpulkan maklumat dan menyita kawasan kejadian buat sementara ini.
Untuk kontraktor yang bertanggungjawab itu, mungkin mereka terlupa pada Seksyen 15 Akta Kesihatan dan Pekerjaan (Kewajipan am Majikan dan orang yang bekerja sendiri kepada pekerja mereka). Kalau saya hendak menyentuh tentang Seksyen 15 tadi, ceritanya terlalu panjang. Maka pada kontraktor yang lain itu, jangan lupa merujuk kepada Safety Officer masing-masing. Hidup menjadi susah jika tidak mengikut peraturan.