AIWA dan legasinya

Bagi mereka yang sempat melewati zaman akhir 80-an dan awal 90-an (ketika di bangku sekolah), kebanyakan isi rumah ketika itu mempunyai Mini Compo, atau yang paling mahal ketika itu ialah Hi-Fi brand AIWA. Memang saya tidak nafikan brand AIWA pada zaman sekolah saya, menjadi jenama pilihan tidak kira sama ada di bandar atau pun di kampung. Dan terus terang saya katakan, saya sendiri pada masa itu ada juga membeli sebuah Walkman dengan brand yang sama, digunakan jika saya bosan membuat kerja sekolah.

 

Bagi saya, AIWA telah banyak meninggalkan legasinya

di pasaran Malaysia dan sekitar Asia serta di Eropah di zaman kegemilangannya. Permintaan terhadap ‘Walkman’ berjenama AIWA begitu memberangsangkan, laris dijual di kedai-kedai Elektronik.  Walkman AIWA dilengkapi dengan fungsi tuner digital dan boleh memainkan perakam suara serta kaset, dan ianya mudah digunakan dan dibawa ke mana-mana sahaja.  Sebab itulah WALKMAN AIWA menjadi pilihan ramai.

 

Selain WALKMAN, AIWA sebenarnya banyak menghasilkan produk-produk audio yang lain seperti Hi-Fi, radio kaset (untuk automotif), perakam video kaset dan juga Mini Compo. Pergilah ke mana-mana kedai elektronik, AIWA yang menjadi pilihan sebab harganya yang mampu milik.

 

 

Sayangnya AIWA mengalami zaman kegelapan selepas era zaman Cakera Padat (CD) bermula. Pesaingnya mula menunjukkan belang untuk mengalahkan AIWA, terutamanya SONY dan PANASONIC. Walaupun AIWA dikatakan berjaya di pasaran, tetapi masalah ‘finance’ menjadi kekangan AIWA untuk pergi jauh. AIWA hampir bankrupt kerana salah ‘investment’ kepada beberapa jenis produk yang tidak mampu jual tetapi membazirkan wang pada model-model yang tidak menjadi di pasaran.

 

AIWA diambil alih oleh SONY, tetapi SONY semakin rugi bila mengambil alih AIWA. Maka selepas itu, AIWA terus hilang di kebanyakan pasaran dunia sejak 2006 sehinggalah sekarang selepas SONY mengambil keputusan untuk menutup terus jenama AIWA. Lebih baik gunakan satu jenama sahaja iaitu SONY. Kilangnya yang terbesar di Malaysia terletak di Kawasan Perindustrian Tebrau, iaitu di Johor Bahru, telah ditutup sejak tahun 2001. Kebanyakan bangunan kilangnya kini disewa kepada Venture Corporation.

 

Begitu sedihnya cerita AIWA, jenama yang tip top suatu ketika dahulu. Tetapi AIWA tetap meninggalkan legasi. Banyak model-model AIWA sekarang ini jadi bahan plastik buruk di rumah, berkepuk dengan habuk. WALKMAN AIWA pun sudah lama berkubur.