Jalan-jalan ke Bandung, Part 1 (Panorama Bandung)

IMG_1001
Pada bulan November yang lalu, saya sekeluarga menyertai beberapa keluarga yang lain berjalan-jalan ke Bandung. Walaupun sebenarnya saya kurang berminat, tetapi kerana Bandung itu sendiri pun saya tak pernah sampai, rasanya inilah peluang kami sekeluarga untuk ‘melancong’ sementara. Saya kena mengambil cuti selama 4 hari untuk merealisasikan ke Bandung.
Kami tiba di Bandung (Di Lapangan Terbang Antarabangsa Husein Sastranegara) pada 20hb Nov, lebih kurang jam 6:40 petang. Tetapi kalau di Bandung, waktu itu dah pun masuk Maghrib. Kami disambut oleh Pak Dodi, iaitu orang yang menguruskan perjalanan kami di sini. Kira dia ni macam ejen pelancong le…
Oleh kerana waktu itu dah gelap, ditambah lagi dengan hujan lebat, kami mengambil keputusan untuk makan malam dan selepas itu bermalam di hotel. Ya le kan, malam-malam nak jalan macam mana sebab tak ada orang yang nak guidekan…

Rombongan kami dibawa untuk makan malam di sebuah restoran Nasi Padang. Di sini, pekerja restoran tersebut akan meletakkan beberapa pinggan yang berisi lauk pauk dan kami boleh memilih lauk mana yang akan kami jamah. Mana pinggan yang dah diusik lauknya, pinggan itu yang akan dicaj harganya. Kira-kira balik, kami membayar sebanyak Rp320000 untuk 8 orang makan. (rombongan kami seramai 9 orang termasuk 2 kanak-kanak)
IMG_0984
Memang banyak lauk di atas meja… Cuit aje… kena kira!

Keesokan harinya, rombongan kami bercadang untuk pergi ke destinasi pertama iaitu Tangkuban Parahu. Cerita tentang Tangkuban Parahu itu saya akan tulis pada post yang akan datang, sebab untuk percutian ini saya suka cerita panjang-panjang. Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah tentang saya punya ‘Point of View’ apabila saya menjejak kaki di bumi Bandung.

Rombongan kami menaiki van yang agak besar saiznya, sesuai untuk membawa pelancong yang tidak melebihi 10 orang. Ketika nak menaiki van, ada le seorang peniaga selipar ni, cuba cari ‘market’ dengan  kami.. jual sandal 3 pasang dengan harga Rp100000 ( RM35.00)

Dalam perjalanan kami menuju ke Tangkuban Parahu, saya sempat mengambil beberapa gambar di dalam van dan bagi saya, suasana di Bandung ini langsung tidak sama macam kat Malaysia. Dan keadaan di sini lebih padat daripada biasa. Pengangkutan awam yang utama di sini ialah Van berwarna hijau. Van-van ini dimiliki oleh syarikat persendirian dan van inilah yang menjadi nadi kehidupan untuk warga Bandung yang tak ada kenderaan sendiri. Teksi agak payah kelihatan di sini dan saya boleh mengira jumlah teksi yang saya nampak hanya dalam 4 buah!

Van besar yang kami naiki ditulis dengan perkataan PARIWISATA. Saya ada bertanya dengan Pak Alan, pemandu van yang akan membawa kami selama 5 hari di sini. Pak Alan cakap, PARIWISATA memang ditulis sama ada di cermin kenderaan atau pun di bas-bas pelancong. PARIWISATA itu bermaksud kegiatan rekreasi untuk berhibur, maka setiap kenderaan atas tujuan Pariwisata mesti ditulis dengan perkataan PARIWISATA di seluruh Indonesia.

Di Bandung, macam saya tulis kat atas tadi, kawasan pembandarannya memang padat. Motorsikal adalah majoriti kenderaan yang digunakan oleh warga Bandung untuk ke tempat kerja. Yang agak menghairankan di sini, kereta saiz mini yang saya nampak ialah SUZUKI SWIFT…! Itulah kereta yang paling kecil yang kelihatan di Bandung. Ramai warga Bandung suka pada kereta TOYOTA Innova Kijang, maka banyaklah kenderaan TOYOTA Kijang di atas jalan.

Ketika sampai di lampu trafik, walaupun lampu merah, warga Bandung masih sempat melepaskan diri daripada lampu merah, asalkan tiada kenderaan yang lalu dari arah lain. Jika tergesel atau tercalarkan kenderaan orang, hanya perlu mengangkat tangan sahaja untuk menunjukkan ‘Minta Maaf”.

Dan bila di traffic light, sementara menunggu lampu hijau, warga Bandung di hadapan lampu akan disajikan dengan pertunjukan yang percuma. Kalau ikhlas, bagi lah wang sikit..!!
IMG_0991

Dalam perjalanan juga, saya pun ada perasan beberapa produk dari Malaysia wujud di Bandung, contohnya Maybank, Petronas, AXIATA (XL) dan CIMB. Tetapi menurut Pak Alan, warga Indonesia lebih berbangga menggunakan produk mereka sendiri daripada produk luar. Perjalanan kami ke Tangkuban Parahu kami teruskan….!! Saya akan menulis post berkenaan Tangkuban Parahu pula.