Geng Arab rompak permata RM3 juta


5 rakyat asing termasuk seorang wanita ambil kesempatan ketika premis hendak ditutup

KUALA LUMPUR: Sekumpulan lima warga asing, termasuk seorang wanita mengambil masa tidak sampai dua minit melarikan berlian dan permata dianggarkan bernilai lebih RM3 juta dari satu pameran barang kemas di pusat beli-belah di Damansara, di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, semua suspek dipercayai dari Asia Barat dilaporkan mengambil kesempatan melarikan satu beg berisi barangan itu ketika 15 kakitangan sebuah syarikat barang kemas terkemuka sibuk menyimpan barang pameran.

Difahamkan empat lelaki terbabit terus meninggalkan pusat beli-belah berkenaan sebelum melarikan diri menggunakan kereta dipandu seorang wanita. Kejadian disedari kakitangan syarikat barang kemas itu yang kemudian memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) pusat beli-belah dan menyerahkan rakaman kepada polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata modus operandi kumpulan itu ialah melakukan jenayah berkenaan ketika pameran mahu ditutup apabila pekerja sibuk menyimpan barangan kemas dipamerkan.
“Polis sedang mengenal pasti suspek berdasarkan rakaman CCTV. Kita percaya mereka sudah beberapa kali mengunjungi pameran ini sebelum melakukan jenayah berkenaan. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sepasukan anggota dari Unit Forensik Polis Selangor juga sudah dihantar ke lokasi kejadian semalam bagi menjalankan siasatan lanjut.


Sumber : Berita Harian

Warga asing dah buat onar di negara kita. Arab pulak tu.. Adakah tindakan ini boleh dimaafkan?