Serangan udara ke atas Libya. Apa agenda Amerika?

image
Seperti yang telah kita ketahui melalui media tempatan, Libya sudah pun diserang oleh tentera bersekutu yang dikepalai oleh Amerika Syarikat. Turut serta di dalam serangan terhadap Libya ialah tentera-tentera daripada Perancis, Itali, Kanada dan Britian. Kononnya serangan tentera ini dilakukan atas mandat daripada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UN).


Dan kononnya juga, serangan tentera ini bertujuan untuk melindungi rakyat Libya sendiri daripada kekejaman rejim Muammar Gaddafi. Setakat artikel ini ditulis, kematian akibat serangan udara ini telah meragut 50 nyawa rakyat Libya, manakala hampir 200 orang lagi cedera.

Kata orang kuat Amerika si Barrack Obama itu, serangan ini ditujukan khas kepada kedudukan tentera Libya yang masih setia kepada pemimpin autokratik si Gaddafi tadi. Sama ada sasaran serangan tadi benar-benar kena pada kedudukan tentera… tidak pula dinyatakan oleh media Amerika. Yang pasti ada juga orang awam yang terkorban.


Apa sebenarnya motif Amerika menyerang Libya yang kononnya untuk melindungi rakyat Libya, tetapi pada masa yang sama rakyat Libya sendiri yang ramai ‘mati katak’.? Adakah Amerika dan sekutunya itu benar-benar ikhlas mahu membantu rakyat Libya dengan menaburkan bom ke atas bumi Libya sendiri?

Alasan yang diberikan oleh Amerika mungkin sesuai, tetapi persoalannya sekarang, adakah Amerika mahu melakukan Lbya sama seperti di Iraq? Kita tahu yang Libya juga kaya dengan sumber minyaknya. Dengan menawan Tripoli, maka sekaligus Amerika dapat mengawal minyak Libya. Bukankah begitu?

Satu hal lagi, Muammar Gaddafi seorang yang berkepala batu. Sebelum serangan udara ini, ramai rakyat Libya yang dibunuh ketika protes serta kebangkitan rakyat berlaku pada beberapa minggu yang lepas Hampir separuh daripada rakyat Libya melihat Muammar Gaddafi patut berundur dari kancah politik Libya. Tetapi si Muammar Gaddafi ini tidak menerima suratan takdir yang harus dihadapinya. Semakin banyak pemberontakan yang berlaku di seluruh negara tetapi Muammar mengarahkan tentera-tenteranya mematahkan percubaan untuk menjatuhkannya.

Gaddafi sudah lama berada ditampuk pemerintahan selama 4 dekad. Dia agaknya fikir Libya ini Muammar Gaddafi yang punya… dan rakyat Libya adalah hamba-hambanya…. Maka pemikiran Muammar Gaddafi lebih terarah untuk mempertahankan kuasanya.

Setakat artikel ini ditulis, belum ada lagi serangan susulan. Kita akan lihat nanti apa akan berlaku seterusnya. Adakah Muammar Gaddafi boleh jatuh begitu sahaja dengan serangan tentera bersekutu ini?