Pendedahan Wikileaks terhadap Amerika. Antara kebenaran atau kepalsuan?

 

Ketika Presiden Afghanistan, Hamid Karzai mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri (PM) Pakistan, Yousuf Raza Gilani di Kabul, ibu negara Afghanistan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyelinap masuk ke Kabul menemui ketumbukan tentera AS dan Nato di negara umat Islam yang ditaklukidan dijajah itu

.
Lawatan mengejut Obama penuh rahsia dengan tidak menemui tuan rumah. Kemungkinan Karzai diberitahu atau tidak, ia adalah satu rahsia - sesuatu yang tidak pernah atau jarang sekali berlaku dalam hubungan diplomatik antara negara.


Kehadiran Obama di Afghanistan tanpa menemui presiden yang AS sendiri mengangkatnya, membawa pelbagai implikasi bukan setakat hubungan AS dengan Afghanistan, tetapi kedudukan agenda perang menentang keganasan yang dipelopori AS dan disertai Afghanistan, Pakistan dan negara umat Islam lain.
Obama ke Kabul selang tidak lama selepas beliau melawat India yang terpesona dengan negara itu muncul sebagai kuasa ekonomi baru dunia bersama China dan Brazil, selain sokongan AS terhadap inisiatif India untuk menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sokongan AS ini memberi tamparan hebat kepada Pakistan yang berjiran dengan India dan sentiasa bertelagah dalam konflik wilayah Kashmir, yang tidak pernah selesai sejak India-Pakistan mencapai kemerdekaan masing-masing pada 1947. Kashmir yang majoriti penduduknya Islam berada di bawah pemerintahan India yang majoriti penduduknya Hindu.


Obama tidak melawat Pakistan, tetapi India dengan komitmen memberi isyarat jelas bahawa AS lebih mengambil perhatian dan menyebelahi India dari Pakistan, termasuk dalam pertikaian Kashmir.
India lebih dihargai kerana ada kepentingan strategik bagi AS, bukan setakat bidang ekonomi kerana pasaran besar di India yang jumlah penduduknya sebesar penduduk China, tetapi juga India mampu menjadi penghadang kepada kebangkitan umat Islam di benua kecil itu dan di seluruh dunia.
Kunjungan mengejut itu juga mengambil tempat ketika dunia diselubungi dengan pendedahan dokumen kawat-kawat rahsia bikinan Jabatan Negara AS (Kementerian Luar), oleh media baru Wikileaks mendedahkan dasar-dasar negara-negara tertentu yang menjadi sahabat dan musuh AS dan dasar AS sendiri.


Beberapa pendedahan ketara ialah desakan Arab Saudi terhadap AS supaya mengebom stesen jana kuasa nuklear Iran yang setakat ini AS masih tidak memenuhinya, tetapi opsyen untuk menyerang stesen itu sentiasa berada di meja Obama untuk dipertimbangkan sebagai panglima tertinggi pasukan keselamatan dan tentera AS.


Arab Saudi dan negara Arab di Timur Tengah mahu menghalang kemaraan Iran untuk menjadi kuasa serantau, apalagi dengan situasi di Iraq yang menguntungkan Iran, apabila kuasa politik di Iraq bertukar tangan dari kalangan sunni kepada pimpinan Syiah. Dalam perebutan untuk menjadi kuasa serantau inilah, dapat dilihat sikap Saudi dan negara-negara sepertinya mahukan AS memusnahkan loji nuklear Iran.


Bagaimanapun konsekuen serangan itu sangat besar implikasinya. Ia akan mengheret seluruh rantau Timur Tengah dalam kancah peperangan yang tiada penghujung, sedangkan konflik perang di Palestin lebih enam dekad sudah cukup membawa kepada penderitaan rakyatnya.
Rejim Zionis tidak perlu mendesak AS menyerang kemudahan nuklear Iran kerana sudah ada pihak negara umat Islam yang mendesak AS bertindak demikian. Hampir semua negara Arab dirantau Timur Tengah merestui AS bertindak ganas.

Inilah antara yang terbaru didedahkan Wikileaks, memperlihatkan polisi jahat AS dan sekutunya sepanjang dasar mereka terhadap negara umat Islam. Janji Obama untuk membuat perubahan menghulurkan tali persahabatan dengan negara umat Islam adalah omong-omong kosong.
Pendedahan Wikileaks juga mempamerkan niat sebenar AS terhadap negara Islam, terutama yang sedang berada dalam kancah perang. AS begitu bimbang dengan kuasa nuklear Pakistan, takut-takut ia nanti terlepas ke tangan pihak yang menentang rejim Pakistan sekarang, yang bersekongkol dengan AS dan barat. AS tidak pula bimbang dengan kuasa nuklear India dan rejim Zionis. Mereka ialah rakan strategik AS dan barat.


Atas dasar inilah juga AS dan sekutu barat menghalang kemungkinan Iran memiliki keupayaan nuklear, walaupun Iran terang-terangan menyatakan pengkayaan uraniumnya untuk menghasilkan tenaga nuklear bagi tujuan keamanan dan pembangunan ekonomi.