Kanak-kanak yang nak jadi artis kena dapat kelulusan Jabatan Tenaga Kerja?

 

image

Untuk adik-adik kecil kita, tidak lama lagi kerajaan mahu menggubal semula peraturan pekerjaan bagi kanak-kanak yang terlibat menjadi artis atau pemuzik. Melalui Rang Undang-Undang Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan-Pindaan 2010), kanak-kanak yang mahu bekerja perlu mendapatkan kelulusan (atau kebenaran) bertulis daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja. Tujuannya supaya kanak-kanak ini tidak diekploitasi oleh pihak tertentu sehingga menyebabkan pelajaran di sekolah tergangggu, kerana bekerja sebagai artis.

Sekiranya kanak-kanak ini tidak mendapat kebenaran daripada Jabatan Tenaga Kerja, mereka tidak boleh bekerja di sektor hiburan. Selain itu, waktu bekerja juga perlu dipatuhi. Kanak-kanak yang terlibat di dalam sektor hiburan tidak boleh bekerja dari jam 8 malam hingga 7 pagi melainkan mendapat kebenaran  dari Jabatan Tenaga Kerja. Jika bekerja berterusan selama 3 jam, kanak-kanak mesti direhatkan sekurang-kurangnya 30 minit.

Rasanya penggubalan semula undang-undang terhadap kanak-kanak yang bekerja di industri hiburan ada juga baiknya. Di TV, ada dua rancangan realiti TV (IDOLA KECIL dan KAMILAH BINTANG) yang tujuannya mencungkil bakat kanak-kanak, seterusnya diasah bakat mereka sehingga bergelar penyanyi. Selain mencungkil bakat, tujuan saluran TV ialah untuk mendapatkan keuntungan dari segi pengiklanan, tajaan dan juga undian SMS (paling kurang pun RM1). Saluran TV ini telah mengekploitasikan kanak-kanak untuk mendapatkan keuntungan melalui rancangan realiti TV ni, selain mengkhayalkan dunia kanak-kanak itu sendiri terhadap dunia glamour yang tidak pasti sampai mana mereka boleh pergi.

Saya amat menyokong penggubalan semula undang-undang terhadap kanak-kanak ini dari dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu, termasuk ibu-bapanya sendiri.

Dah dah le tu, kesian pada anak-anak kita tu….!!!

 

Sumber berita daripada BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak di bawah umur yang berhasrat menceburi bidang hiburan seperti menjadi pelakon, pemuzik atau penyanyi perlu mendapatkan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata mereka perlu mendapatkan kelulusan dan mematuhi peraturan yang terkandung dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 bagi mengelakkan mereka dieksploitasi sehingga mengganggu pelajaran.

"Menerusi pindaan ini, dimaklumkan bahawa menteri akan menggubal peraturan-peraturan dan mereka yang ingin terlibat dalam industri hiburan perlu mengikuti beberapa proses di mana dalam proses itu ada panduan dan peraturan yang mesti dipatuhi.

"Tanpa kelulusan ketua pengarah Jabatan Tenaga Kerja mereka tidak boleh bekerja dalam sektor hiburan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.
Maznah berkata, antara peraturan yang mesti dipatuhi ialah jika bekerja selama enam hari, kanak-kanak itu perlu ada cuti selama sehari dan jika mereka bekerja selama tiga jam secara berterusan, mereka mesti ada masa rehat sekurang-kurangnya 30 minit.


"Selain itu, mereka tidak boleh bekerja di antara jam 8 malam hingga 7 pagi kecuali dalam bidang hiburan yang memerlukan kelulusan ketua pengarah Jabatan Tenaga Kerja," katanya.
Melalui pindaan rang undang-undang itu juga, sekiranya kanak-kanak itu bersekolah, mereka tidak boleh bekerja dan bersekolah lebih dari tujuh jam.


Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat 47,000 kanak-kanak yang bekerja di negara ini dan sebahagian besar daripada mereka adalah bagi membantu keluarga dan bekerja secara sambilan.
"Kementerian memandang serius mengenai penyalahgunaan tenaga kerja kanak-kanak. Melalui Jabatan Tenaga Kerja pemeriksaan berkala sentiasa diadakan di tempat-tempat pekerjaan.
"Pindaan rang undang-undang ini membenarkan kanak-kanak bekerja tetapi waktu bekerja adalah tidak melebihi tujuh jam sehari dan terhad kepada perusahaan yang diusahakan oleh keluarga mereka sahaja atau kerja ringan," katanya.


Persidangan dewan disambung esok. - BERNAMA