Bila kaki judi puja nombor ekor atas perut anak dara…

image
Apa nak jadi dengan kaki-kaki judi, kaki-kaki mapiow dan kaki-kaki nombor ekor. Tidak cukup dengan memuja nombor ekor di kubur-kubur dan memuja syaitan, kali ini ada pula cuba memuja nombor ekor di atas perut anak dara pula?



Apa yang dikesalkan, orang-orang kita tidak berfikir panjang tentang dosa, tetapi lebih mementingkan wang ringgit sehingga sanggup menggadaikan maruah orang lain. Siapa yang menjadi mangsa? Mungkin girlfriend dia, mungkin anaknya sendiri?
Di bawah adalah sebuah cerita lelaki yang bernama Abdul Majid, berusia 40 tahun yang mengaku memuja nombor ekor menggunakan kaedah di atas.

Apa punya manusia?

Dulu puja kubur, keris dan barangan aneh, tetapi kini ‘tahi judi’ semakin menggila apabila menggunakan wanita sebagai bahan eksperimen untuk mendapatkan nombor ekor.
Caranya mudah. Bawa wanita berstatus dara dan bomoh ekor yang memperkenalkan taktik itu akan menjelmakan nombor ekor enam digit serta empat digit di perut dara terbabit.
Lebih menggembirakan tahi judi, pengeras yang dikenakan hanya RM15.55 dan disyaratkan membeli nombor ekor dengan taruhan maksimum RM10.
Kerja sewel itu didedahkan seorang tahi judi yang mengaku beberapa kali mencuba menggunakan taktik berkenaan, tetapi kecewa apabila tidak pernah mendapat pulangan seperti diharapkan.
Lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul Majid, 40, berkata taktik ‘nombor ekor perut dara’ semakin terkenal apabila beberapa bomoh ekor galak mempromosinya.
“Rakan kaki nombor ekor lain beritahu, bomoh yang menggunakan taktik itu ada di merata negeri, tetapi saya hanya mencuba bomoh di Lembah Klang.
“Bomoh yang saya temui mensyaratkan taktik itu hanya boleh digunakan pada malam Jumaat. Jika datang bawa anak dara pada hari lain, dia tidak layan,” katanya.
Menurut Abdul Majid, sambutan tahi judi terhadap eksperimen itu sangat menggalakkan dan bukan sesuatu yang aneh melihat ramai anak dara di pekarangan rumah bomoh terbabit setiap kali tiba malam Jumaat.
“Saya sudah lima kali berkunjung ke rumah bomoh terbabit untuk mencuba nasib menggunakan taktik itu. Memang ramai datang bawa anak dara. Jika datang lewat, kena tunggu sampai pagi,” katanya yang memberitahu, upacara dimulakan seawal jam 8 malam.
Bagi membuktikan dakwaannya, Abdul Majid membawa wartawan Metro Ahad ke rumah bomoh yang menggunakan taktik itu di sebuah kampung sekitar Lembah Klang.
Abdul Majid membawa bersama seorang rakan dan seorang anak dara bagi tujuan mendapatkan nombor ekor menggunakan taktik itu.
Kami tiba di rumah bomoh itu seawal jam 8 malam, tetapi sudah ada empat kumpulan tahi judi yang turut disertai beberapa anak dara menunggu giliran.
Ada kumpulan membawa seorang anak dara dan ada pula membawa dua.
Menurut Abdul Majid, jika membawa dua anak dara, tahi judi ada pilihan kerana bomoh mampu menjelmakan nombor ekor berbeza daripada dua anak dara itu.
“Lagi ramai anak dara, lagi banyak pilihan nombor ekor. Bagaimanapun syarat dikenakan tetap sama iaitu pengeras untuk setiap seorang RM15.55 dan membeli nombor ramalan dengan taruhan maksimum RM10,” katanya.
Apabila tiba giliran kami, bomoh berusia awal 50-an itu meminta setiap daripada kami menulis nama dan umur sebelum memberitahu, dia akan memberi nombor ekor enam digit dan empat digit.
Kemudian anak dara yang kami bawa diminta masuk ke sebuah bilik bersama bomoh terbabit dengan alasan mahu menjelmakan nombor di perutnya.
Dalam tempoh 10 minit, kami dipanggil dan bomoh itu menggosok abu kertas nama dan umur kami di atas perut dara terbabit sebelum muncul enam digit nombor ekor.
Selepas selesai mencatat nombor itu, kami diminta keluar untuk membolehkannya menjelmakan pula nombor empat digit.
Bagaimanapun, untuk nombor empat digit itu, bomoh terbabit memberitahu ia hak anak dara terbabit, tetapi kami boleh menebusnya jika mahu.
Harga untuk menebus nombor ekor itu perlu ditetapkan anak dara terbabit dan dia juga diwajibkan membeli nombor ekor yang keluar di perutnya jika mahu nombor dibeli kena pada tempat pertama.
Selepas 10 minit keluar daripada mengambil nombor ekor enam digit, kami sekali lagi dipanggil untuk mengambil nombor ekor empat digit pula.
Sekali lagi, taktik sama digunakan sebelum muncul nombor ekor empat digit untuk disalin.
Upacara selesai dan kami diminta membayar pengeras RM15.55 tiap seorang, termasuk anak dara terbabit.
Ketika ditanya bagaimana nombor ekor boleh muncul di perut anak dara it, bomoh itu berkata ia adalah kepakarannya.
“Ia membabitkan perantaraan saya dengan makhluk halus. Sebab itu boleh keluar nombor ekor di perut anak dara itu,” katanya.
Bomoh itu mensyaratkan nombor ekor enam digit hanya boleh dibeli dengan taruhan maksimum RM10, manakala untuk nombor ekor empat digit tiada had taruhan dikenakan.
Bomoh terbabit berkata, jika tiada aral melintang dia memberi jaminan kami akan mendapat pulangan lumayan.
Dalam perjalanan pulang, anak dara yang dibawa Abdul Majid memberitahu, dia diminta berbaring dan memejamkan mata sebaik masuk ke bilik bomoh terbabit.
Begitupun, dia mengakui tiada pelakuan terlampau dilakukan bomoh terbabit, sebaliknya hanya memberitahu perutnya disentuh beberapa kali.
Ditanya mengapa sanggup digunakan untuk kerja gila itu, anak dara terbabit memberitahu, Abdul Majid menjanjikan kekayaan.
“Abang Majid beritahu, jika nombor ekor keluar di perut saya, nombor ekor yang dibeli pasti mengena. Saya pun nak jadi orang kaya baru,” katanya.
Begitupun, impian Abdul Majid dan rakannya tidak menjadi kenyataan apabila nombor ekor yang dibeli langsung tidak mengena.
“Usah kata tempat pertama, kedua atau ketiga, saguhati pun langsung tak kena. Nombor yang diberi juga jauh berbeza dengan keputusan nombor ekor,” kata Abdul Majid ketika dihubungi dua hari selepas kunjungan ke rumah bomoh terbabit.
Bagaimanapun, Abdul Majid berkata, dia terus berusaha menemui bomoh nombor ekor lain untuk merealisasikan impiannya menjadi orang kaya baru.
“Saya ada mendengar bomoh ekor yang boleh menjelmakan nombor ekor di kemaluan wanita. Syaratnya perlu bawa janda anak satu. Saya kini mencari wanita yang sanggup melakukannya,” katanya.


Kesimpulan daripada cerita di atas : Saya sangat kesal dengan ketaksuban si Majid.Sudah tidak lagi berfikir pasal halal haram, tetapi kekayaan yang hanya sementara.