Jaga tepi kain orang tak boleh ke?

Dahulu, kebanyakan orang tua tidak membenarkan anak-anak mereka untuk cuba 'menjaga tepi kain orang'. Perumpamaan ini bermaksud kita cuba nak tau hal orang lain, terutamanya orang yang kita kenal rapat seperti rakan sebaya, jiran dan adik beradik.


Apabila berlaku musibah kepada rakan sebaya kita contohnya. Dia dipukul oleh ibu bapanya kerana degil, tidak mendengar kata dan suka balik lewat. Ibu bapa kita dengan segera tidak menggalakkan kita untuk cuba mengorek rahsia di sebalik 'hayunan rotan' yang diterima oleh kawan kita tadi.Esoknya kita lihat, ada kesan-kesan lebam di tangan, badan dan juga ada kesan kena timbuk di mata kawan kita tadi. Walau bagaimanapun, kita masih lagi tidak dibenarkan untuk mengambil tahu apa yang telah berlaku pada kawan kita tadi, semata-mata kerana tegahan atau larangan daripada orang tua kita.

Apabila kita semakin dewasa, dan kerana sudah terbawa-bawa dengan 'tidak peduli', jangan ambil tahu dan jangan jaga tepi kain orang, maka kita semakin malas untuk mengambil tahu hal-hal yang telah berlaku di sekitar kejiranan kita.

Kes penderaan kanak-kanak yang dibantai di hadapan khayalak ramai, adalah salah satu contoh yang berlaku dek kerana sikap kita sendiri yang tidak mahu mengambil tahu atau tidak ambil peduli. Kita tidak mahu bertanya, "kenapa budak itu dibantai dengan sedemikian rupa?", "kenapa budak itu berbuat salah?" "siapa yang memukul budak itu?".
Saya rasa soalan-soalan tersebut tidak ada di dalam hati mereka yang menonton budak itu dipukul. Mereka hanya mampu menonton dan tidak cuba untuk meleraikan atau menghentikan perbuatan tadi. Inilah akibat daripada pendidikan di rumah lagi. Kita diajar supaya tidak boleh ambil tahu atau menjaga hal orang lain.

Sikap sebegini sudah menjadi kebiasaan sekarang dan dengan banyak sekali masalah sosial yang berlaku, apa tindakan kita untuk menyedarkan masyarakat kita sendiri untuk lebih proaktif untuk membuang sikap "tidak mahu ambil tahu" dan "tak boleh menjaga tepi kain orang?".