Apabila ramai penulis blog menulis tajuk yang sama sahaja.

Sebagai seorang penulis blog yang kononnya tegar, saya pasti ramai penulis-penulis blog akan mengalami kekurangan idea untuk menulis. Lagi pun, terdapat beberapa tajuk atau topik yang mahu ditulis, tetapi sudahpun ditulis oleh penulis blog yang lain. Contoh yang paling mudah, berita kematian Achik Spin 2 minggu lalu. Saya lihat dan perhatikan ramai penulis blog menulis benda yang sama tetapi dalam beberapa versi cerita yang berlainan.

Adakah ini normal?

Sebagai penulis blog, memilih dan menulis tajuk blog yang sama adalah perkara biasa bagi seseorang penulis. Mungkin penulis yang pertama mempunyai pandangannya yang tersendiri pada sesuatu topik, penulis yang kedua pula mengulas dengan panjang lebar, penulis ketiga menulis secara ringkas sahaja dan begitulah seterusnya. Tetapi intipati daripada tajuk yang ditulis masih tidak lari banyak.

Sebagai contoh, penulis blog pertama hanya menceritakan yang Achik Spin meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya, tetapi dia tidak menceritakan bagaimana kemalangan itu berlaku. Penulis blog yang kedua pula, dia menceritakan Achik meninggal dunia kerana kemalangan menaiki MPV dan melanggar tiang, tetapi dia tidak memberitahu yang MPV terbakar. Penulis blog yang seterusnya menulis dengan lebih terperinci dengan menulis bagaimana Achik terlibat, berapa orang di dalam kereta, kereta MPV selepas melanggar tiang terbakar dan sebagainya.

Lebih bagus sekiranya sebelum anda menulis, anda perlu melakukan tinjauan di internet tentang topik yang dipilih. Sekiranya topik yang dipilih sudah pun ditulis atau ramai yang menulis, anda mempunyai 2 pilihan.

a.) Teruskan menulis topik yang sama, tetapi letakkan tajuk yang agak lain daripada topik yang ditulis oleh penulis blog yang lain. Pastikan isi cerita anda digarap dan diolah ayatnya supaya pembaca blog anda faham.

Contohnya : Tajuk penulis blog pertama : Achik Spin meninggal dunia.

Anda tidak boleh memilih tajuk seperti di atas. Anda harus menukarnya menjadi “ Hilangnya anak seni berbakat”. Ini sebagai contoh sahaja. Anda dilarang sama sekali memplagiat 100% blog orang lain dari segi isi cerita. Anda harus mengolah penceritaan menggunakan ayat sendiri.

b.) Pilihan yang kedua. Anda lupakan hasrat untuk menulis topik yang sama. Cari sahaja topik yang lain.

Apa pula pandangan penulis-penulis blog yang lain tentang menulis tajuk yang sama?

Kalau ada 200 tajuk yang sama keluar dalam internet setiap hari, mungkin anda sebagai pembaca blog tidak tahu mana satu yang terbaikkan? Tetapi bagi memberikan sokongan kepada penulis blog, anda harus membaca apa yang ditulis. Pilihlah 2 atau 3 blog untuk dibaca jika terdapat 200 blog menulis tajuk yang sama sahaja. Tidak mungkin anda sebagai pembaca hendak baca ke semua 200 blog tadi.