Pembelot negara

TENTERA_tari

Hampir 5 hari saya tidak berpeluang untuk menulis di Diary Rizman M.A ini kerana saya bertugas di luar kawasan selama 3 hari kerana masalah yang melibatkan kualiti. Satu di Senawang, satu lagi di Kota Tinggi. Tapi saya tak mahu nak menulis mengenai pekerjaan saya sekarang.

Malam tadi apabila menonton berita di Astro Awani, seorang warga ATM (Angkatan Tentera Malaysia) ditangkap kerana telah mendedahkan rahsia besar negara dari segi kekuatan pertahanan negara. Walau bagaimanapun, pada sidang media yang dibuat pada petang tadi, menteri pertahanan enggan memberitahu warga ATM yang mana satu telah mendedahkan rahsia dan strategi pertahanan negara (sama ada dari tentera darat, udara dan laut), pangkat anggota yang ditangkap serta negara mana yang menerima maklumat sulit tersebut.

Siapakah warga ATM tersebut? Kenapa mereka sanggup menggadaikan maruah diri dan negara kepada musuh-musuh Malaysia?

Sebenarnya, strategi meletakkan warga sendiri sebagai agen untuk mendapatkan maklumat adalah taktik yang biasa digunakan oleh mana-mana negara kuasa besar di dunia kita sekarang. Mereka mengupah tentera yang bekerja di negara tadi, sebagai agen rahsia bagi menewaskan dan menghancurkan pertahanan tentera negara yang diintip tadi pada masa akan datang.

Seperti di dalam filem James Bond, peranan mereka adalah berlakon sebagai tentera di samping mengorek rahsia di sebalik kekuatan yang ada. Tidak mustahil, Malaysia akan tergadai kerana warga negaranya yang menjadi kambing hitam untuk negara lain.

Soalannya di sini, patutkah mereka ini dimaafkan, atau penjarakan di bawah akta ISA?

Ini cerita berkenaan pengkhianatan terhadap negara. Bagaimana dengan anggota pasukan keselamatan yang lain, contohnya PDRM, KDRM dan sebagainya? Mengabaikan tanggungjawab masing-masing untuk menjaga keamanan juga sebenarnya adalah pengkhianatan. Jadi, fikir-fikirlah!

RIZMAN M.A