Pasukan Bolasepak Johor FA . Apa nak jadi?

 

130px-Johor2

Terasa mahu menulis pasal bolasepak. Untuk tajuk bolasepak kali ini, saya mahu menulis tajuk di atas.

Dalam Liga Super yang berlangsung sejak 9 Januari lalu, pasukan Johor adalah pasukan yang berada dalam kategori tercorot dalam 12 pasukan. Amat memalukan setakat 3 perlawanan, ketiga-tiganya berakhir dengan kalah memanjang. Walaupun dapat penajaan sebanyak RM1 juta dan juga dengan pengurusan baru PBNJ (Persatuan Bolasepak Negeri Johor), tetapi nampak gayanya pasukan bolasepak negeri Johor masih lagi tercorot juga.

Rentetan perlawanan sebelum ini : ( kalah kepada Kedah di tempat sendiri 0-3, kalah kepada Kelantan 3-0 dan kalah kepada Perak 0-2 ) mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada pasukan ini. Khabarnya semua pemainnya adalah muka baru, tetapi itu bukanlah alasan kenapa Johor tidak boleh bangkit semula. Sudah hampir 19 tahun pasukan bolasepak Johor tidak memenangi apa-apa pun kejuaraan dan rakyat Johor sendiri pun macam tidak berminat mahu melihat pasukan Johor beraksi.

Jika diingatkan kembali 19 tahun lepas, Johor memenangi Piala Malaysia dan Liga Perdana pada tahun 1991. Pada masa itu Stadium di Larkin itu penuh, sampai ada yang memanjat pagar belakang semata-mata mahu melihat Johor beraksi. Masa itu Johor ada Abbas Saad, Khalid Shahdan, Nasir Yusoff, Alistair Edward, Ervin Boban (sekadar menulis beberapa nama) yang menampakkan Johor begitu gah pada masa itu.

Tapi apa dah jadi sekarang? Stadium memang sah kosong apabila Johor bermain di tempat sendiri, lagi teruk semasa menggunakan nama Johor Pasir Gudang ( gabungan Johor dengan Pasir Gudang United ). Salah satu kesilapan besar sebenarnya meletakkan nama Pasir Gudang, seolah-olah pasukan kelab yang mewakili negeri.

Apa pun, kita tunggu dan lihat sejauh mana pasukan Johor akan pergi dalam Liga Super ini.